Tangkap layar rakaman seorang lelaki memegang senjata sedang mengejar seseorang.

Lelaki bertopi keledar pegang pistol rupanya polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai identiti seorang lelaki bertopi keledar yang dilihat memegang pistol dalam kejadian kejar-mengejar di Jalan Sultan Salahuddin berhampiran Bukit Tunku di sini, semalam, akhirnya terjawab apabila individu terbabit merupakan anggota polis yang sedang menjalankan operasi.

Kejadian yang mencetuskan kebimbangan orang ramai itu sebenarnya melibatkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang sedang menjalankan Op Tapis Khas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang semalam apabila anggota polis mengesan sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu untuk menjalankan pemeriksaan, pemandunya bertindak melarikan diri secara melulu.

“Ketika pihak polis menghampiri kenderaan tersebut bagi tujuan pemeriksaan, kenderaan itu telah dipandu secara melulu dan melanggar sebuah Honda City berwarna biru untuk meloloskan diri.

“Pada pukul 6.40 petang, pihak polis berjaya mengesan semula kenderaan tersebut di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin sebelum bertindak mengejarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Azwan berkata, dua lelaki kemudian keluar daripada kenderaan terbabit sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal terhadap kereta berkenaan tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.

“Pihak polis kini sedang mengesan dua individu terbabit bagi membantu siasatan lanjut. Kes masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 13 saat di aplikasi Threads yang memaparkan kejadian kejar-mengejar membabitkan beberapa individu dan sebuah kenderaan di kawasan berkenaan.

Kejadian itu sebelum ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai susulan kemunculan seorang lelaki bertopi keledar yang dilihat memegang pistol.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN