Tangkap layar menunjukkan keadaan tayar yang tertanggal daripada sebuah kenderaan keluaran Chery dan kenyataan syarikat itu.

Roda tertanggal bukan kegagalan komponen – Chery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Chery Auto Malaysia menjelaskan kerosakan pada bampar hadapan dan roda yang tertanggal daripada sebuah kenderaannya dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) semalam berpunca daripada pelanggaran dan bukan kegagalan komponen.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, pihaknya menyedari kebimbangan orang ramai susulan gambar dan rakaman kemalangan berkenaan yang tular di media sosial.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kerosakan pada bampar hadapan serta roda yang tertanggal adalah akibat kemalangan dan bukannya disebabkan kegagalan komponen kenderaan,” katanya.

Laporan sebuah portal automotif mengenal pasti kenderaan terbabit sebagai Chery Tiggo Cross yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi pada 7 November.

Gambar kejadian menunjukkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di lorong kanan lebuh raya, manakala beberapa roda kenderaan Chery berkenaan dilihat tertanggal.

Bagaimanapun, kenyataan Chery tidak memperincikan bagaimana kemalangan berlaku atau sama ada siasatan pihak berkuasa sudah selesai.

Chery berkata, pasukannya sudah menghubungi pemilik kenderaan berkenaan dan sedang memberikan bantuan yang diperlukan.

“Kami memahami bahawa kejadian ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelanggan serta mencetuskan spekulasi orang ramai.

“Chery Auto Malaysia menggesa orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menimbulkan kebimbangan tidak perlu dalam kalangan pengguna jalan raya dan menyumbang kepada penyebaran maklumat salah,” katanya.

Syarikat berkenaan menegaskan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan kekal menjadi keutamaan utamanya.

Insiden membabitkan Tiggo Cross itu berlaku kira-kira sebulan selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan bagi model Chery Omoda 5 susulan satu kejadian berasingan di Johor Bahru.

Dalam kejadian pada Oktober lalu, pemasangan gandar belakang sebuah Omoda 5 dilaporkan tertanggal, sekali gus mendorong JPJ menjalankan siasatan teknikal dan audit terhadap proses pengeluaran, pemasangan serta pembekal komponennya.

Chery kemudian mengumumkan kempen panggil semula bagi varian tertentu Omoda 5 untuk pemeriksaan dan penggantian komponen berkaitan tanpa bayaran.

Bagaimanapun, kejadian terbaharu di NKVE membabitkan model kenderaan berbeza.

Chery menegaskan roda Tiggo Cross berkenaan tertanggal akibat kemalangan dan bukannya kegagalan bahagian kenderaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN