PGA menahan seorang dan merampas dua ekor burung murai batu bernilai RM50,000 di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, di Pasir Puteh, petang semalam. - Foto ihsan PGA

Lelaki miliki dua burung murai batu tanpa kebenaran ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki kerana memiliki dua ekor burung murai batu dianggarkan bernilai RM50,000 tanpa dokumen kebenaran menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang selepas operasi pada 5.45 petang menemukan burung itu di dalam bangsal di tepi rumah suspek.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan burung itu yang dipercayai dimiliki sejak 2019 selepas dibeli daripada seorang rakan dari Gua Musang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, polis turut merampas dua sangkar dianggarkan bernilai RM800.

Beliau berkata, kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Beliau berkata, operasi itu melibatkan kerjasama PGA dan Perhilitan Kelantan bagi membanteras pemilikan hidupan liar tanpa kebenaran. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN