PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan di sebelah pagi melibatkan beberapa kawasan dan tempat, ketika penganut Hindu menyambut perayaan Hari Deepavali esok.
MetMalaysia menerusi kenyataannya memaklumkan, ribut petir dan hujan diramalkan di kebanyakan tempat di negeri Kelantan, Terengganu dan bahagian Kudat di Sabah pada sebelah pagi.
“Ribut petir dan hujan juga diramalkan di beberapa tempat di negeri Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor.
“Ia turut melibatkan bahagian Pantai Barat, Sandakan dan Tawau di Sabah, manakala Sarawak merangkumi bahagian Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah dan Bintulu,” menurut MetMalaysia hari ini.
Untuk cuaca di sebelah petang pula, ribut petir dan hujan dijangka di kebanyakan tempat di negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan bahagian Kudat, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Dalam masa sama, ribut petir dan hujan diramalkan di beberapa tempat di negeri Pahang, Johor serta bahagian Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Tawau di Sabah serta negeri Sarawak,” katanya.
MetMalaysia turut meramalkan keadaan cuaca pada sebelah malam yang mana ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan tempat di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Selain itu, hujan di beberapa tempat di Pahang, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (bahagian Kudat, Sandakan dan Pedalaman) serta Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















