PETALING JAYA – Dalang sindiket pemalsuan cap keselamatan endosmen Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM15,000 sebulan berjaya ditahan dalam operasi khas di Kajang, Selangor dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 11 pagi itu, pihak Imigresen menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berusia antara 40 hingga 45 tahun yang dipercayai dalang utama serta ahli sindiket berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati seorang daripada wanita warga Thailand itu memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang sebagai pasangan kepada warganegara Malaysia, manakala seorang lagi mempunyai Pas Lawatan Sosial.
“Hasil operasi, pihak kami merampas dua cap keselamatan endosmen Pas Lawatan dan satu cap keselamatan endosmen keluar yang disyaki palsu.
“Turut dirampas kepingan getah cap keselamatan endosmen, dua unit cap tarikh, lima pad dakwat merah dan biru, enam pasport Thailand, sebuah Pas Sempadan Thailand, lima telefon bimbit, dua buku catatan serta kunci premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai memalsukan cap keselamatan endosmen Imigresen yang dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, sindiket menyasarkan warga asing yang berada di negara ini tanpa pas sah atau tinggal lebih masa, khususnya warga Thailand.
“Mereka dipercayai mempromosikan perkhidmatan menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu yang diturunkan pada pasport pelanggan.
“Lebih licik, pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa perlu bersemuka bagi mengelakkan identiti mereka dikesan,” katanya.
Tambah beliau, lelaki tempatan terbabit ditahan di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama. – KOSMO! ONLINE
















