KUALA LUMPUR – Seniwati Noor Kumalasari pernah melepaskan tawaran lakonan bernilai lebih RM100,000 selepas menolak syarat pihak produksi yang memintanya membuka tudung untuk sebuah drama sebelum ini.
Noor Kumalasari, 70, berkata, pelbagai dugaan yang hadir dan tidak mudah untuk kekal istiqamah dalam berhijab namun bersyukur Tuhan tidak menggoyahkan imannya.
“Mula-mula berhijab memang banyak cabaran. Malah, saya pernah dapat satu tawaran bernilai lebih RM100,000 untuk drama bersiri televisyen tetapi tolak begitu sahaja.
“Pihak produksi suruh buka hijab dan katanya perlukan saya buka tudung. Saya terus kata minta maaf, tidak akan buat demi apa-apa pun kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam sempena Festival Filem Malaysia (FFM) di sini, semalam.
Bercerita lanjut, bintang filem Mira Edora itu berkata, pendiriannya itu menjadi contoh dan ikutan seorang pelakon wanita muda yang turut melalui situasi serupa ketika baharu sahaja tampil dengan imej berhijab.
“Bila saya keluar, ada seorang pelakon wanita muda yang baru berhijab datang meminta pandangan saya. Saya berikan pandangan yang sama kepadanya.
“Saya beritahu, terpulang kepadanya, kerana bagi saya bila sudah berhijab dan mendekatkan diri dengan Allah SWT, adakah kita sanggup korbankan wang ringgit itu kerana Allah? Rezeki itu milik-Nya, jadi buatlah keputusan sendiri.
“Saya beritahu dia bahawa saya tidak akan sesekali membuka hijab demi apa jua perkara. Akhirnya dia ambil keputusan sama dan walaupun terlepas watak itu, sekurang-kurangnya dia puas hati kerana wang bukan segala-galanya berbanding reda Tuhan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Noor Kumalasari memaklumkan bahawa tawaran berlakon masih tidak putus diterimanya sehingga ke hari ini.
Dia juga berkata, pintu hatinya untuk kembali aktif dalam sudah tertutup rapat meski hanya watak sampingan jadn jadial kerja yang tidak padat.
“Masih ada lagi tawaran berlakon. Mereka kata watak sikit sahaja, hanya perlu penggambaran dua hingga tiga hari.
“Tetapi kalau Allah sudah tutup pintu hati, memang tiada langsung rasa nak berlakon semula. Keinginan itu langsung tidak ada, cuma saya masih menonton drama televisyen dan filem-filem lama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
















