KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Lisa Surihani menyifatkan doa sahabatnya iaitu penyanyi dan pelakon Alif Satar yang sering memanggilnya dengan gelaran hajah sebagai antara asbab dia dijemput menunaikan ibadah haji tahun ini.
Lisa atau nama lengkapnya Lisa Surihani Mohamed, 40, berkata, tindakan Alif yang konsisten memanggilnya dengan gelaran tersebut setiap kali bertemu sering membuatkan dirinya tertanya-tanya memandangkan ketika itu dia masih belum berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima.
Menurutnya, Alif yang dianggap seperti adik sendiri terlebih dahulu mendapat jemputan ke Tanah Suci dan mereka pernah beberapa kali bekerjasama dalam industri seni.
“Setiap kali berjumpa, Alif akan panggil saya hajah. Saya sendiri tidak tahu kenapa dia selalu berbuat demikian.
“Mungkin itu salah satu amalannya. Setiap kali dia panggil begitu, saya hanya aminkan dan ucapkan terima kasih.
“Orang kata, setiap kata-kata yang diucapkan itu doa. Mungkin doa Alif menjadi antara asbab saya dijemput menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis ‘Kerana Dia Memanggil’ Perkongsian Perjalanan Haji Alumni Irkaz Travel yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon filem Istanbul Aku Datang itu berharap sekiranya doa Alif menjadi asbab pemergiannya ke Tanah Suci, sahabatnya itu sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.
“Jika benar Alif menjadi asbab dan doanya antara yang diangkat, saya berdoa agar Allah SWT sentiasa merahmatinya serta menghimpunkan dia bersama keluarganya di syurga,” ujarnya.
Dalam majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 bakal jemaah haji itu, Lisa turut berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah haji tahun ini, termasuk keputusannya berangkat ke Tanah Suci tanpa ditemani suami.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur apabila impiannya untuk menunaikan ibadah haji pada usia 40 tahun akhirnya menjadi kenyataan.
Mengimbas kembali, Lisa berkata, hasrat tersebut mula dipanjatkan ketika mengerjakan umrah bersama Irkaz Travel pada Ramadan 2023.
“Ketika itu, saya berdoa agar diberikan peluang menunaikan ibadah haji pada usia 40 tahun kerana mengambil inspirasi daripada usia Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama,” kongsinya.
Tidak menyangka doanya dimakbulkan, Lisa berkata, tiga tahun kemudian, rayuan hajinya diterima sekali gus membuka peluang untuk menunaikan ibadah berkenaan bersama Irkaz Travel. – KOSMO! ONLINE
















