JAKARTA – Tentera Indonesia mengerahkan lebih 20,000 askar dan kakitangan sokongan ke Jakarta, kata pihak berkuasa semalam seperti dipetik saluran berita CNA
Kerahan dibuat ketika pihak berkuasa menyiasat operasi pengintipan haram telefon menyasarkan Presiden Prabowo Subianto, membawa kepada penangkapan dua pegawai kanan polis dan bekas ketua polis.
Antara yang terbabit dalam skandal itu ialah bekas ketua polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo yang dipecat sebagai Ketua Staf Presiden semalam, hanya sebulan selepas pelantikannya.
Leftenan Kolonel Tentera Darat, Ariyo Windutomo yang mengetuai Sekretariat Presiden dilantik pemangku Ketua Staf Presiden berikutan pemecatan Listyo.
Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengesahkan sama ada kerahan tentera di Jakarta mempunyai kaitan dengan siasatan skandal tersebut.
Jurucakap angkatan tentera Indonesia, Muhammad Nas berkata, pergerakan tentera itu prosedur standard bagi mengekalkan keselamatan negara dan integriti wilayah.
Sementara itu, pembantu operasi tentera laut, Yayan Sofiyan enggan mengulas lanjut mengenai tujuan kerahan atau menjawab soalan wartawan mengenai wujud kebimbangan keselamatan atau ketegangan politik di Jakarta.
Fasa pertama kerahan tentera bermula Isnin lalu dengan seramai 2,100 askar ditempatkan di Jakarta.
“Tentera dari luar ibu kota pula mulai tiba semalam, menjadikan jumlah keseluruhan anggota terlibat seramai 20,980 orang,” kata Yayan. – AGENSI
















