MEXICO CITY – Prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur menuntut Lewis Hamilton dan Charles Leclerc lebih menghormati pasukan selepas pertarungan sesama sendiri pada awal perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico menyaksikan mereka mensia-siakan peluang meraih kemenangan.
Hamilton yang memulakan perlumbaan dari petak utama, bersama Leclerc di petak ketiga, pada awalnya meletakkan Ferrari dalam kedudukan terbaik apabila kedua-dua jentera mendominasi kedudukan satu-dua selepas beberapa selekoh pertama.
Bagaimanapun, perebutan kedudukan antara kedua-dua pemandu di Selekoh 4 dan 5 menyaksikan mereka terbabas keluar dari litar dengan Leclerc turut dikenakan penalti susulan insiden berkenaan.
Hamilton akhirnya terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Leclerc menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat, sekali gus menyaksikan Ferrari kehilangan peluang untuk meraih kemenangan satu-dua.
Vasseur tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap insiden itu, malah menegaskan kedua-dua pemandu perlu menghormati jenama, penaja serta ribuan kakitangan yang bekerja keras membangunkan jentera pasukan dari Maranello.
“Bagi saya, ini soal rasa hormat. Rasa hormat kepada jenama, penaja, pasukan dan 2,000 kakitangan yang bekerja keras di kilang.
“Prestasi kami semakin meningkat dan kami sudah mengambil langkah ke hadapan dengan membawa naik taraf baharu hasil usaha kakitangan yang bekerja siang dan malam.
“Sejujurnya, amat sukar untuk saya menerima hakikat apabila kemenangan yang sudah berada dalam genggaman terlepas begitu sahaja,” katanya. – AGENSI
















