Kejayaan seorang remaja berusia 14 tahun menjuarai Gegar Joran Melaka 2026 di Tasik Ayer Keroh bertambah manis apabila bapanya turut muncul naib juara dalam pertandingan berkenaan.
Aqif Haziq Junaidi dari Bukit Rambai muncul juara selepas menaikkan ikan tilapia seberat 0.810 kilogram (kg) pada pukul 10.24 pagi, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Dengan menggunakan umpan cacing, Aqif Haziq tidak menyangka tangkapannya itu membolehkan dia mengatasi peserta lain dan berkongsi kegembiraan tersebut bersama keluarga yang hadir.
Aqif Haziq berkata, dia berhasrat berkongsi rezeki daripada kemenangan itu bersama keluarga sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan semangat yang diberikan sepanjang penyertaannya dalam pertandingan itu.
Lebih menggembirakan, bapanya, Junaidi Hassan, 47, turut mencatat kejayaan, sekali gus menjadi satu kenangan manis buat mereka sekeluarga.
Junaidi meraih hadiah RM1,000 selaku naib juara menerusi tangkapan ikan tilapia seberat 0.795kg pada pukul 11.33 pagi, hanya dibezakan 15 gram daripada tangkapan anaknya.
Tempat ketiga pula menjadi milik Muhamad Syuib Md. Amin, 30, dari Tanjong Kling yang menaikkan ikan toman seberat 0.765kg pada pukul 10.54 pagi.
Pertandingan itu menghimpunkan 350 peserta dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

pancing.
Kehadiran ahli keluarga yang menemani kaki pancing turut memeriahkan suasana di sekitar tasik berkenaan.
Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, program berkenaan turut menjadi platform meningkatkan kesedaran mengenai kawalan ikan asing invasif dan kepentingan menjaga ekosistem tasik.
Antara ikan yang berjaya dinaikkan para peserta sepanjang pertandingan adalah raja atau peacock bass, toman, keli, tilapia dan diamond, sekali gus memberi gambaran kepelbagaian spesies akuatik di tasik itu.
Menariknya, program itu dimeriahkan dengan kehadiran Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd. Faisal Md. Zin yang meninjau perjalanan pertandingan berkenaan.
Program anjuran bersama MPHTJ dan Nadi Media Events itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Saufi Affandi, Gegar Joran Melaka berpotensi untuk terus dikembangkan sebagai acara tahunan yang sinonim dengan Tasik Ayer Keroh.
Katanya, usaha itu seterusnya akan meletakkan kawasan tersebut sebagai antara destinasi pilihan komuniti pemancing.
Menurutnya, program berkenaan juga mampu menyumbang kepada aspirasi menjadikan Melaka sebuah negeri pelancongan yang menawarkan pengalaman lebih pelbagai kepada pengunjung, termasuk menerusi aktiviti memancing dan riadah bersama keluarga.
















