VILLARREAL – Paris Saint-Germain (PSG) mengekalkan rentak sempurna dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini selepas membelasah Villarreal 6-0 pada perlawanan di Stadium Ceramica awal pagi semalam.
Dua gol menerusi Fabian Ruiz selain masing-masing satu gol jaringan Joao Neves, Desire Doue, Senny Mayulu dan David Bolly menyaksikan mereka mengukuhkan cengkaman selaku peneraju liga.
Jurulatih PSG, Luis Enrique gembira dengan kemenangan diraih, namun beliau tetap memberikan amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan situasi itu kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Satu perlawanan yang sangat hebat. Sebenarnya saya bimbang dengan perlawanan seperti ini kerana ia mampu membawa bencana kepada kami seandainya melepaskan gol awal, namun kami kekal fokus dengan tugas yang dipikul.
“Hari ini (semalam) kami bermula dengan sangat baik, memberikan tekanan kepada pasukan lawan dan menguasai permainan. Terima kasih juga kepada penyokong kerana kami seolah-olah bermain di laman sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ruiz juga menyuarakan rasa gembira kerana dua jaringan dilakukan berjaya membantu PSG mencatat kemenangan besar sehingga diangkat sebagai pemain terbaik untuk perlawanan itu.
“Bukan selalu anda boleh tengok saya menjaringkan dua gol, tetapi hari ini (semalam) saya berjaya melakukannya. Apa yang paling penting adalah kami menang dan mengutip tiga mata,” ujarnya. – AGENSI
















