fbpx
Imej satelit yang dikongsi Hani di Facebook menunjukkan keadaan sebelum dan selepas kejadian banjir di Nepal baru-baru ini.

Hari ke-70, waris 54 rakyat Malaysia hilang di Nepal masih tersepit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Bagaimana keluarga nak teruskan hidup?” Itu luahan isteri seorang mangsa tragedi banjir di Nepal yang sehingga kini masih belum mendapat kepastian mengenai nasib suami serta 53 rakyat Malaysia lain yang dilaporkan hilang.

Hani Othman, isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe Solo, berkata sudah 70 hari berlalu sejak bencana alam yang melanda Nepal pada 26 Ogos lalu, namun kesemua mangsa masih berstatus hilang.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkongsi keadaan kawasan sepanjang jajaran Sungai Bhote Koshi dari sempadan Gyirong, Timure hingga Syabru Besi yang musnah akibat runtuhan batu dan lumpur tebal berdasarkan perbandingan imej satelit sebelum dan selepas bencana.

Menurutnya, kehilangan insan tersayang bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam, malah menyebabkan keluarga mangsa berdepan kesukaran kewangan apabila sumber pendapatan utama terputus.

Katanya, terdapat mangsa yang merupakan ketua keluarga, manakala isteri dan anak-anak terpaksa meneruskan kehidupan tanpa sumber nafkah, selain perlu menanggung komitmen seperti pinjaman rumah, kenderaan dan bil bulanan.

Lebih membebankan, akaun bank mangsa tidak boleh diakses walaupun mempunyai wang simpanan yang diperlukan waris untuk meneruskan kehidupan.

“Duit simpanan ada di dalam akaun, tetapi satu sen pun waris tidak boleh sentuh untuk membeli beras anak atau membayar ansuran rumah.

“Untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengakses akaun berkenaan pula memerlukan kos guaman ribuan ringgit, sedangkan keluarga sudah kehilangan punca pendapatan utama,” luahnya.

Hani turut mempersoalkan nasib keluarga mangsa selepas tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan yang diberikan menerusi kemudahan berkaitan Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir.

Dalam masa sama, beliau mendakwa urusan tuntutan insurans turut berdepan jalan buntu apabila sijil kematian menjadi dokumen utama diperlukan, sedangkan mangsa masih dikategorikan sebagai orang hilang.

Katanya, sebelum ini terdapat makluman bahawa pihak Nepal akan mengeluarkan sijil anggapan kematian selepas 45 hari, namun sehingga hari ke-70, keluarga masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi.

“Bagaimana kami hendak menyerahkan sijil kematian jika status mereka masih orang hilang?

“Kami bukan sahaja kehilangan insan paling disayangi, malah kehilangan tempat bergantung, punca pendapatan dan kini terpaksa menanggung beban kewangan seorang diri,” katanya.

Sehubungan itu, Hani berharap pihak berkuasa dan agensi berkaitan dapat memberikan kepastian serta membantu keluarga mangsa yang terperangkap dalam ketidakpastian status kehilangan orang tersayang.

Beliau berkata, keluarga mangsa masih menyimpan harapan agar insan tersayang dapat ditemukan, namun pada masa sama memerlukan bantuan dan penyelesaian segera bagi meneruskan kehidupan.

“Jangan biarkan kami menanggung derita tergantung ini bersendirian. Kami perlukan kepastian, pembelaan dan sistem yang ada belas ihsan untuk mereka yang terperangkap dalam status hilang,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN