ALOR SETAR– Seramai 615 usahawan mikro asnaf di Kedah menerima perlindungan takaful bernilai RM73,800 menerusi Program i-Tekad bagi membantu mereka menghadapi risiko kewangan tidak dijangka.
Inisiatif hasil kerjasama Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful Ikhlas) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu bertujuan memperluas akses perlindungan kewangan kepada golongan asnaf yang mengikuti program pembangunan keusahawanan di bawah seliaan LZNK.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, kerjasama strategik itu membuktikan peranan institusi kewangan Islam dan agensi zakat dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi golongan memerlukan.
“Di Takaful Ikhlas, kami percaya bahawa perlindungan kewangan yang menyeluruh perlu dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan usahawan mikro dan asnaf yang sedang berusaha membina kehidupan yang lebih baik.
“Melalui program ini, Takaful Ikhlas bukan sahaja menyediakan perlindungan takaful, malah turut menyokong agenda memperkukuh ketahanan kewangan serta pembangunan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran Program i-Tekad di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dr. Mohd Faisal Mustaffa serta 100 usahawan mikro asnaf.
Jumlah sumbangan perlindungan sebanyak RM73,800 itu disalurkan menerusi kerjasama beberapa pihak termasuk peserta Takaful Ikhlas melalui platform Ikhlas Barakah House (IBH), LZNK dan geran kerajaan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menerusi pelan perlindungan tersebut, setiap peserta layak menerima manfaat kematian atau Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (HUMK) sebanyak RM10,000 akibat kejadian biasa atau semula jadi.
Jumlah perlindungan itu turut ditambah sebanyak RM10,000 sekiranya kematian atau HUMK berpunca daripada kemalangan.
Selain itu, peserta turut menikmati manfaat hospital sebanyak RM50 sehari sehingga maksimum 21 hari.
Perlindungan yang ditawarkan untuk tempoh setahun itu turut disertai program pendidikan dan kesedaran literasi kewangan bagi meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pengurusan kewangan serta perancangan perlindungan masa depan.
Program i-Tekad merupakan inisiatif kewangan sosial BNM yang membantu usahawan mikro berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup menerusi latihan, pembiayaan dan perlindungan kewangan.
Pelaksanaannya di Kedah diharap dapat membantu mengukuhkan daya tahan kewangan usahawan mikro asnaf, sekali gus menyokong usaha mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.-KOSMO! ONLINE
















