fbpx
PASUKAN SRGA meraikan kejuaraan MAL MY Musim Keenam di MSU, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SRGA bawa cabaran Malaysia ke pentas MCT SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELANGOR Red Giants Academy (SRGA) bakal membawa cabaran Malaysia ke pentas serantau apabila mengesahkan tiket ke kejohanan sulung Mobile Legends: Bang Bang Championship Tour Southeast Asia (MCT SEA). Ia disahkan selepas pasukan itu muncul juara Mobile Legends: Bang Bang Academy League Malaysia (MAL MY) Musim Keenam.

Kejayaan itu diraih selepas SRGA menewaskan HG X Originz (HGOZ) dengan keputusan 3-0 dalam aksi Grand Final format Best-of-Five (BO5) yang berlangsung di Plaza South, Management and Science University (MSU), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Lebih membanggakan, SRGA menamatkan saingan peringkat Playoffs tanpa kehilangan satu perlawanan, sekali gus membuktikan keutuhan dan konsistensi pasukan sepanjang kejohanan yang disertai 12 pasukan itu.

Pemain terbaik perlawanan akhir (FMVP), Adam Hamidun (Melqt) berkata, kejayaan itu di luar jangkaan pasukan, terutama apabila mereka berjaya menewaskan lawan dengan keputusan 3-0 dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya bersyukur kerana tidak sangka kami dapat menang 3-0 dan mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga ke tahap ini. Mungkin kami mendapat ilham daripada abang-abang kita dan banyak belajar daripada mereka.

“Perlawanan akhir lebih menyeronokkan berbanding mendebarkan. Ada satu ketika, saya sempat meminta bantuan rakan sepasukan kerana agak kelam-kabut ketika berdepan lawan,” katanya.

Kejayaan itu turut mencerminkan peranan organisasi e-sukan berpengalaman dalam membangunkan bakat baharu negara. Ini memandangkan SRGA merupakan pasukan akademi kepada Selangor Red Giants (SRG) yang pernah muncul juara Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia sebanyak lima kali berturut-turut.

Barisan pemain yang membawa SRGA menjulang kejuaraan itu terdiri daripada Melqt sebagai Gold Laner, Ilman Zareef Zulkifli atau Gojes (EXP Laner), Muhammad Arif Mohd. Noor atau A La Venj (Roamer), Muhammad Hadif Iqbal Yusuf atau Diff (Mid Laner) dan Muhammad Zyedanshah Sabari atau Zyydannn (Jungler).

Selepas kejayaan di peringkat domestik, SRGA bakal berdepan cabaran lebih besar apabila menyertai MCT SEA yang menghimpunkan 12 pasukan dari 11 negara Asia Tenggara.

SRGA BERJAYA menewaskan pasukan HGOZ pada perlawanan akhir.

Kejohanan itu menyediakan laluan kepada pasukan bukan francais untuk bersaing di peringkat serantau, sekali gus memburu peluang beraksi dalam kejohanan utama dunia MLBB, iaitu M Series.

Sementara itu, Ketua Pasukan SRGA, Gojes berkata, perjalanan mereka untuk meraih kejuaraan berkenaan bukan mudah kerana berdepan pelbagai cabaran, termasuk memastikan komitmen pemain terhadap latihan.

“Perjalanan kami bukan mudah kerana ada banyak turun naik serta cabaran di belakang tabir yang orang tidak nampak.

“Antara cabarannya adalah dari segi komitmen latihan kerana ada pemain yang masih bersekolah dan perlu memberikan tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jadi, memang sukar untuk memastikan semua dapat memberikan komitmen terhadap latihan,” katanya.

Kempen SRGA pada MCT SEA akan bermula dengan menentang juara Liga Pembangunan MLBB (MDL) dari Indonesia dan Filipina dalam kumpulan kelayakan, dengan hanya satu daripada tiga pasukan akan mara ke peringkat Knockout Playoffs.

MCT SEA menawarkan jumlah hadiah keseluruhan AS$50,000 (RM202,500) serta empat peluang kelayakan ke Kejohanan Dunia M8. Dua pasukan terbaik peringkat Knockout Playoffs akan memperoleh slot automatik, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat bakal beraksi dalam pusingan Wild Card.

Untuk rekod, MAL MY dilancarkan pada Januari 2024 hasil kerjasama MOONTON Games dan IO Esports bagi menyediakan laluan pembangunan lebih tersusun kepada pemain muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN