fbpx
SAINGAN GP Qatar dijangka menyaksikan penyertaan paling kecil pelumba ekoran penarikan diri serta isu kecederaan yang dialami. - AFP

MotoGP: GP Qatar berisiko hambar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DOHA – Grand Prix (GP) Qatar berdepan kemungkinan menyaksikan antara grid paling kecil dalam sejarah perlumbaan moden MotoGP apabila ramai pelumba berkemungkinan tidak akan beraksi pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Lusail, 6 hingga 8 November ini.

Situasi itu berlaku selepas Yamaha menarik diri daripada perlumbaan susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di rantau Asia Barat, selain pelumba Gresini, Alex Marquez yang perlu menjalani pembedahan.

Keputusan Yamaha itu menyaksikan empat pelumba iaitu Fabio Quartararo, Alex Rins, Jack Miller dan Augusto Fernandez tidak dapat menyertai perlumbaan, sekali gus menjejaskan operasi pasukan pengeluar Jepun itu serta Pramac.

Yamaha memaklumkan sekatan perjalanan syarikat masih berkuat kuasa kerana pihaknya belum menerima maklumat mencukupi untuk mengubah keputusan tersebut, manakala MotoGP menyatakan kekecewaan terhadap penarikan diri berkenaan.

Selain itu, Alex Marquez turut terpaksa melupakan perlumbaan di Qatar bagi menjalani pembedahan membuang plat yang dipasang susulan kecederaan tulang selangka sebelum ini, sekali gus memerlukan Gresini mempertimbangkan pelumba pengganti.

Keadaan mungkin menjadi lebih buruk apabila empat pelumba lain iaitu Jorge Martin, Raul Fernandez, Fermin Aldeguer dan Joan Mir masih berdepan tanda tanya mengenai tahap kecergasan masing-masing menjelang perlumbaan itu.

Ketika grid biasa MotoGP membabitkan 22 pelumba, jumlah penyertaan berpotensi merosot kepada sekitar 14 pelumba sekiranya semua yang berdepan kecederaan gagal mendapat kebenaran berlumba.

Jika senario itu berlaku, GP Qatar bakal menghampiri rekod grid kecil dalam sejarah moden kelas premier apabila hanya 14 pelumba memulakan perlumbaan di GP Australia 2011, manakala GP Britain dan Belanda masing-masing menyaksikan 15 pelumba pada 2010. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN