REMBAU – Sebuah bengkel kenderaan di Chembong, di sini, musnah 100 peratus dalam kebakaran yang turut melibatkan empat buah kenderaan, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, kebakaran berlaku di Chembong Rembau Workshop yang terletak berhadapan Masjid Kariah Chembong.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.50 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dikejarkan ke lokasi.
“Jentera bomba tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel berukuran kira-kira 30.5 meter x 30.5 meter yang musnah sepenuhnya.
“Kebakaran itu turut melibatkan empat buah kenderaan yang berada di dalam bengkel berkenaan, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seramai 11 anggota bomba dari BBP Rembau dengan bantuan BBP Kota digerakkan ke lokasi bersama dua jentera bagi menjalankan operasi pemadaman.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan ketika laporan awal dikeluarkan, manakala maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-KOSMO! ONLINE
















