PETALING JAYA – Malakoff Amazing Hunt anjuran Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) yang berlangsung di The Saujana Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya mencapai matlamat penganjurannya.
Bertemakan ‘Powering a Greener Future’, acara tersebut telah menyatukan warga kerja, pemegang taruh, media dan ahli komuniti media sosial yang menghimpunkan seramai 88 peserta (22 pasukan).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, edisi tahun ini turut menyaksikan penglibatan warga kerja dari empat stesen jana kuasa Malakoff di Johor, Perak dan Pulau Pinang.
“Mereka beraksi bersama-sama rakan sekerja dari ibu pejabat Kuala Lumpur bagi menyokong inisiatif ‘One Plant, One Pride’ syarikat.
“Ini merupakan medan terbaik untuk sama-sama berganding bahu sebagai satu pasukan, disamping berinteraksi bersama para pemegang taruh dan rakan media,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, berasaskan tiga tonggak Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola, tugasan dalam acara ini merangkumi aspek seperti pengurangan karbon, pengurusan sisa, pemeliharaan alam sekitar, kerja berpasukan, etika, serta ketelusan.
“Ini mendorong para peserta menghayati bagaimana tindakan bertanggungjawab dalam kehidupan mampu menyumbang ke arah masa depan mampan.
“Kelestarian bukan sekadar aspirasi korporat. Sama ada menerusi tenaga bersih, pengurusan sisa mahupun pemeliharaan alam sekitar, kami mahu kelestarian dijadikan sesuatu yang praktikal, mudah diakses dan diterapkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Pemenang telah diumumkan bagi tiga kategori iaitu Media, Pemegang Taruh, dan ‘One Plant One Pride’, dengan tiga pasukan teratas bagi setiap kategori masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, RM1,600 dan RM1,200.
Pasukan Huntastic Four daripada Kategori Media, Pasukan Perbadanan Putrajaya daripada Kategori Pemegang Taruh, dan Pasukan Tanjung Bin Energy 1 daripada Kategori One Plant One Pride, muncul sebagai juara bagi kategori masing-masing. – KOSMO! ONLINE
















