fbpx
TOUS mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan sugar glider atau tupai terbang.

Pupus 6,000 tahun lalu, tous ditemui di Papua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKUMPULAN penyelidik mengenal pasti genus mamalia, Tous ayamaruensis (tous) yang sebelum ini hanya diketahui melalui sisa fosil kerana dipercayai pupus kira-kira 6,000 tahun dahulu.

Bagaimanapun, haiwan berkenaan didapati masih hidup dan mendiami hutan di Papua, Indonesia.

Tour merupakan mamalia berkantung (marsupial) yang seperti sugar glider atau tupai terbang. Haiwan itu menggunakan selaput kulit pada badannya untuk meluncur dari sebatang pokok ke sebatang pokok yang lain.

Penemuan tersebut dianggap luar biasa dalam bidang biologi kerana bukan sekadar penemuan spesies baharu, sebaliknya membabitkan genus mamalia yang sebelum ini tidak diketahui masih wujud.

Kisah penemuan itu bermula pada 2015 apabila seorang pekerja ladang di Papua secara tidak sengaja merakam gambar seekor haiwan yang tidak dikenalinya.

Ia mempunyai mata besar, bulu berwarna perang, telinga tanpa bulu serta selaput kulit yang membolehkannya meluncur di antara dahan.

Gambar yang dirakam itu menarik perhatian penyelidik selepas mereka menyedari ciri fizikalnya mempunyai persamaan dengan sisa tulang berusia ribuan tahun yang ditemui di tapak arkeologi di Papua Barat dan Papua New Guinea.

Menurut laporan The Conversation, fosil berkenaan diklasifikasikan sebagai Petauroides ayamaruensis dan dianggap sebahagian daripada keturunan kuskus peluncur yang telah pupus, namun dipercayai masih wujud di Timur Australia.

Laporan tersebut memaklumkan, saintis awalnya menyangka haiwan itu adalah sejenis kuskus peluncur purba dari Australia yang sudah lama pupus.

Bagaimanapun, telahan mereka tersilap, sebelum menyedari sebenarnya adalah genus baharu yang unik.

Kemusnahan hutan mencetuskan kebimbangan mengenai kelangsungan hidup tous di Papua, Indonesia.

“Penemuan ini menjadikan tous antara contoh yang jarang berlaku bagi Lazarus iaitu spesies yang dianggap telah pupus tetapi kemudian ditemui masih hidup.

“Hasil analisis terperinci terhadap ciri fizikal haiwan dalam gambar, selain perbandingan dengan sisa gigi dan fosil, kami mengesahkan bahawa haiwan itu bukan sekadar spesies baharu, malah mewakili satu genus berbeza.

“Perkara itu menjadikan penemuan tous sesuatu yang sangat jarang berlaku memandangkan hanya kira-kira 1,300 genus mamalia diketahui masih hidup di seluruh dunia,” lapor media tersebut.

Nama tous diambil daripada istilah yang digunakan masyarakat tempatan yang sememangnya sudah lama mengenali haiwan berkenaan dan menganggapnya sebagai haiwan suci.

Penduduk tempatan memanggil haiwan ini ‘tous wansai’ kerana saiznya yang lebih besar berbanding kuskus peluncur yang lain.

Maklumat dan cerita daripada penduduk kampung secara tidak langsung membantu para pengkaji memahami cara hidup dan habitat haiwan tersebut.

“Tous dipercayai bersarang di dalam lubang pokok yang tinggi di hutan hujan, hidup secara berpasangan dan hanya melahirkan seekor anak setiap tahun, sekali gus menjadikan kadar pembiakannya agak rendah.

“Bagaimanapun, penemuan bersejarah itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup haiwan berkenaan memandangkan hutan yang menjadi habitat haiwan ini kini berdepan ancaman pembalakan dan perkembangan sektor pertanian,” lapor media itu.

Bahkan, penampilannya yang menarik turut meningkatkan risiko haiwan itu menjadi sasaran perdagangan dan penyeludupan sebagai haiwan peliharaan, khususnya pengaruh media sosial mampu menjadikan spesies eksotik mendapat perhatian dalam tempoh singkat.

Situasi berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana pengumuman penemuan spesies boleh membawa risiko eksploitasi sekiranya lokasi dan maklumat terperinci mengenainya diketahui umum.

Oleh itu, penyelidik memilih untuk tidak mendedahkan lokasi tepat penemuan tous bagi mengurangkan ancaman terhadap populasi haiwan berkenaan.

Mereka turut menegaskan bahawa usaha pemuliharaan spesies itu perlu mengambil kira kepentingan masyarakat adat yang selama ini hidup bersama dan melindungi haiwan tersebut.

Penemuan itu turut menjadi peringatan bahawa hutan Papua masih menyimpan pelbagai rahsia alam yang belum diterokai sepenuhnya.

Ini menguatkan lagi keperluan untuk melindungi habitat serta pengetahuan masyarakat tempatan yang menjadi sebahagian daripada warisan alam berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN