DHAKA – Beribu-ribu pekerja pakaian Bangladesh menyekat sebuah lebuh raya utama dan bertempur dengan polis hari ini dengan mereka menuntut gaji minimum bulanan lebih dua kali ganda gaji semasa, ketika tunjuk perasaan semakin meluas di seluruh pusat perindustrian.
Bangladesh merupakan pengekspot pakaian kedua terbesar di dunia di belakang China dan mengeluarkan pakaian untuk beberapa jenama antarabangsa terbesar.
Ratusan pekerja di Gazipur, utara Dhaka, menyekat lebuh raya Dhaka-Tangail sambil merosakkan beberapa kenderaan, manakala kumpulan-kumpulan besar turun ke jalanan di daerah Mirpur, di mana polis menyuraikan penunjuk perasaan dengan menembak gas pemedih mata, kata wartawan AFP.
Protes itu berlaku walaupun kerajaan mengumumkan semalam bahawa pihaknya akan menubuhkan lembaga gaji untuk menyemak semula gaji minimum dalam industri pakaian yang penting.
Sektor tersebut menggaji berjuta-juta orang dan menyumbang sebahagian besar pendapatan eksport Bangladesh.
Namun, pemimpin-pemimpin buruh berkata, bantahan pekerja tidak sekadar mengenai penubuhan lembaga tersebut, sebaliknya turut melibatkan isu inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Penunjuk perasaan menuntut gaji bulanan sebanyak 30,000 taka (RM982) atau lebih dua kali ganda gaji semasa mereka.
Para pekerja kini memperoleh gaji sekitar 13,000 taka (RM425) sebulan, demikian menurut pegawai Pusat Solidariti Pekerja Bangladesh, Kalpona Akter. – AFP
















