fbpx
Gambar hiasan

Malaysia catat 1.33 juta pertubuhan aktif melalui Banci Ekonomi 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Malaysia merekodkan sebanyak 1.33 juta pertubuhan aktif di bawah Banci Ekonomi 2026 (BE2026), meningkat daripada 1.09 juta dalam banci terdahulu yang dijalankan pada 2023, mencerminkan pertumbuhan berterusan landskap perniagaan negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, penemuan awal menunjukkan pertubuhan aktif merangkumi 99.3 peratus daripada keseluruhan 1.34 juta premis yang dibanci, meliputi tahun rujukan 2025.

Mengikut sektor, sektor perkhidmatan mendominasi dengan 1.17 juta pertubuhan atau 87.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti pembinaan dengan 86,200 pertubuhan atau 6.5 peratus dan sektor pembuatan dengan 61,000 pertubuhan atau 4.6 peratus,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

DOSM berkata, sektor pertanian merangkumi 18,300 pertubuhan atau 1.4 peratus, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan 1,100 pertubuhan atau 0.1 peratus.

Dalam sektor perkhidmatan, subsektor perdagangan borong dan runcit mendominasi dengan 39.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pertubuhan, diikuti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 14.2 peratus serta perkhidmatan persendirian dan aktiviti lain sebanyak 12.4 peratus.

Sementara itu, subsektor perkhidmatan kewangan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi dari segi bilangan pertubuhan, iaitu 14.7 peratus, diikuti penginapan (14.5 peratus), perkhidmatan makanan dan minuman (6.6 peratus), perkhidmatan pentadbiran dan sokongan (6.1 peratus), perkhidmatan profesional (5.5 peratus) serta hartanah (5.1 peratus).

DOSM berkata, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor muncul sebagai hab perniagaan utama negara, dengan ketiga-tiganya menyumbang sebanyak 643,355 pertubuhan aktif atau 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di seluruh negara.

Dalam sektor pembuatan, produk makanan mencatatkan jumlah pertubuhan tertinggi iaitu 19.3 peratus, diikuti produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka sebanyak 18.4 peratus.

“Subsektor produk elektrik, elektronik dan optik mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus dari segi bilangan pertubuhan berbanding 2022, selaras dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang memberi penekanan kepada pembangunan industri pertumbuhan tinggi, nilai tinggi (HGHV) sebagai salah satu bidang tumpuan strategik negara,” menurutnya.

Menurut DOSM, sektor pembinaan merekodkan 86,000 pertubuhan aktif pada 2025, dengan aktiviti pembinaan khusus menyumbang bahagian terbesar sebanyak 34.4 peratus, diikuti pembinaan bangunan bukan kediaman (25.8 peratus) dan kejuruteraan awam (22.6 peratus).

Dalam sektor pertanian, tanaman makanan merangkumi 15.2 peratus daripada jumlah pertubuhan dan mencatatkan pertumbuhan 17 peratus, manakala ternakan ruminan dan tenusu meningkat 19 peratus, sementara akuakultur berkembang 8.3 peratus.

Banci itu turut memberikan gambaran mengenai ekonomi tidak formal Malaysia dengan mengenal pasti 93,597 pertubuhan tidak formal, termasuk penjaja jalanan dan perniagaan bergerak, selain 71,101 unit rumah percutian.

DOSM berkata, satu operasi susulan selama tiga minggu akan dilaksanakan dari 1 hingga 20 November bagi memastikan liputan banci yang menyeluruh dan mengelakkan mana-mana pertubuhan ekonomi daripada tercicir.

Jabatan itu turut memaklumkan dapatan terperinci BE2026 akan diterbitkan pada April 2027 selepas pemprosesan dan analisis data menyeluruh dilakukan, manakala angka awal yang dikeluarkan masih tertakluk kepada semakan lanjut. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN