ALOR SETAR – Terminal penumpang baharu di Kuala Kedah, di sini yang dijangka siap menjelang akhir tahun hadapan mampu menampung sehingga 3,000 penumpang sehari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kapasiti itu meningkat berbanding kira-kira 800 penumpang ketika ini, sekali gus memperkukuh hubungan maritim antara tanah besar Kedah dengan Pulau Langkawi.
Katanya, terminal baharu tesebut membolehkan tiga bot penumpang berkapasiti besar berlabuh pada satu masa.
“Bayangkan kalau 3,000 penumpang sehari, bukan sahaja operator feri mendapat manfaat, malah peniaga di sekitar kawasan ini juga berpeluang untuk menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Kompetensi Maritim dan Pemerkasaan Syarikat Tempatan di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi projek berkenaan di sini hari ini.
Menurutnya, projek meroboh, membina dan menaik taraf terminal penumpang, kargo dan roll-on roll-off (RORO) itu bermula pada 2024 dengan kos sebanyak RM245 juta.
Katanya, projek berdepan cabaran termasuk kerja merobohkan terminal lama, menyediakan terminal sementara, memindahkan beberapa jeti nelayan dengan memastikan operasi feri ke Langkawi tidak terhenti.
Bagaimanapun, ujarnya, kemajuan fizikal projek itu sudah melebihi 50 peratus dan beliau berharap ia dapat disiapkan pada suku ketiga tahun depan berbanding sasaran pada akhir 2027.
Selain itu, kata beliau, pembangunan infrastruktur perlu disokong tenaga kerja mahir dan seramai 65 peserta berjaya memperoleh Sijil Jurumudi Mate Domestic (Open) menerusi ICP dengan kadar kejayaan 100 peratus.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, projek itu merupakan antara 501 projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal Kerajaan Persekutuan di Kedah.
Beliau berkata, kemudahan baharu itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha restoran, syarikat pengangkutan dan pemain industri pelancongan tempatan.
Selain itu, katanya, aspek keselamatan termasuk kemungkinan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Langkawi turut diberi perhatian tanpa sebarang kompromi.
Beliau turut mengingatkan supaya kerja pengorekan mendapan di kawasan jeti dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kedalaman laluan mencukupi dan pergerakan feri tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE
















