Mahkota Specialist Hospital yang sedang melalui fasa pembesaran dan penjenamaan semula bagi membolehkan ia menjadi hospital swasta terbesar di Melaka dengan kapasiti 430 katil.
Perkembangan ini sekali gus menjadikan ia sebuah hospital pakar yang lebih berkeupayaan dengan pesakit untuk mendapat akses kepada lebih banyak kepakaran, pilihan rawatan yang lebih canggih dan pengalaman penjagaan kesihatan yang lancar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teo Chin Yee, antara kunci rahsianya adalah kepercayaan yang diraih daripada pelanggan, pesakit dan masyarakat dari semasa ke semasa, ramai pesakit terus kembali ke Mahkota merentasi generasi, ini adalah hasil daripada konsistensi kerja harian doktor dan jururawat serta semua yang terlibat di hospital ini.
“Tahun ini adalah tahun persediaan. Kami melengkapkan akreditasi semula JCI pada April, memulakan kerja pecah tanah blok baharu pada Julai dan terus melabur dalam perkhidmatan klinikal serta teknologi yang menjadi sandaran
pesakit kami.
“Keutamaan bagi tahun hadapan lebih kepada kemajuan yang mantap dengan usaha memperkukuh perkhidmatan pakar, membangunkan pasukan klinikal dan memastikan pengalaman pesakit kekal positif.
“Kami mengukur kemajuan berdasarkan bilangan pesakit yang mampu kami rawat, tahap kerumitan rawatan yang dapat kami sokong, kualiti dan keselamatan di sebalik penjagaan tersebut, serta kekuatan warga kerja kami,” katanya dalam temu bual melalui e-mel baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan pelan pembesaran hospital dan apakah keutamaan hospital menjelang siap projek itu pada 2029?
TEO CHIN YEE: Blok baharu ini adalah bab seterusnya dalam kisah yang bermula tahun 1994. Seiring perubahan Mahkota menjadi Mahkota Specialist Hospital, ia mencerminkan komitmen kami untuk memberi pesakit akses yang lebih luas kepada doktor pakar, teknologi canggih dan penjagaan berkualiti tinggi.
Blok ini meluaskan perkhidmatan yang boleh kami tawarkan, termasuk unit rawatan rapi (ICU) pintar, makmal patologi digital sepenuhnya, dewan bedah generasi baharu, pusat kanser yang lebih besar serta lebih banyak bilik perseorangan. Kapasiti kami juga akan meningkat daripada 272 kepada 430 katil.
Keutamaan kami pada masa sekarang adalah untuk memastikan pengoperasiannya berjalan lancar setiap hari yang mana lebih 300,000 pesakit bergantung kepada Mahkota setiap tahun, dan rawatan mereka tidak boleh terhenti semasa kerja pembinaan berjalan.
Kami sedang memperkukuhkan perkhidmatan klinikal, membangunkan warga kerja dan menambah baik pengalaman pesakit supaya kapasiti baharu ini kelak dibuka dalam organisasi yang sudah bersedia sepenuhnya.
Apakah langkah yang diambil untuk memastikan akses ke Mahkota kekal lancar sepanjang tempoh pembangunan?
Kami mahu pesakit dan keluarga merasai gangguan seminimum mungkin dan perkara ini telah dirancang sejak awal. Perancangan pembinaan dan operasi hospital diuruskan secara bersama, bukan sebagai dua urusan yang berasingan.
Tempat letak kereta ialah perkara yang paling kerap ditanya dan projek pembangunan ini menanganinya secara langsung.
Kapasiti tempat letak kereta akan meningkat dua kali ganda apabila siap, di samping kedai makanan, minuman dan runcit baharu yang menjadikan kunjungan ke hospital lebih mudah dan selesa. Sepanjang tempoh pembinaan, kami giat menguruskan aliran trafik, laluan masuk dan papan tanda arah di seluruh kawasan hospital.
Sekiranya ada perubahan yang melibatkan pesakit atau pelawat, kami akan maklumkannya dengan jelas dan lebih awal. Kejayaan projek ini bukan sahaja diukur melalui bangunan yang kami buka pada 2029, tetapi juga sejauh mana kami terus menjaga pesakit dengan baik sepanjang proses pembinaannya.
Apakah faktor yang mendorong Mahkota melaksanakan proses pembesaran hospital ini?
Ada beberapa faktor bergabung iaitu penduduk Melaka semakin bertambah dan menua, justeru permintaan terhadap penjagaan pakar dan rawatan kompleks di peringkat tempatan turut meningkat.
Pesakit juga semakin memerlukan rawatan yang melibatkan beberapa pasukan klinikal yang bekerja secara selaras. Pada masa yang sama, menurut Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan terus kukuh, dengan negara ini menerima kira-kira 1.8 juta pelancong perubatan pada 2025.
Mahkota telah menjadi sebahagian daripada kisah ini sejak sekian lama. Kami merawat pesakit dari dalam negara dan seluruh rantau dan ramai yang memilih kami kerana standard yang diakreditasi di peringkat antarabangsa, kepakaran doktor pakar serta pengalaman penjagaan yang tersusun, dari saat ketibaan sehinggalah rawatan susulan.
Kapasiti penjagaan kesihatan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, jadi ia perlu dirancang lebih awal sebelum permintaan tiba. Kami membina hari ini untuk keperluan penjagaan kesihatan sedekad.
Bagaimanakah kapasiti Mahkota berkembang dan apakah kekuatan utamanya?
Perkara lebih penting adalah pertumbuhan bukan sekadar menambah katil. Ia tentang memperkukuh keupayaan kami untuk menyediakan lebih banyak kepakaran, lebih banyak perkhidmatan khusus dan penjagaan yang lebih bersepadu.
Setiap pelaburan yang kami buat akhirnya mesti diterjemahkan kepada pengalaman penjagaan kesihatan dan hasil rawatan yang lebih baik untuk pesakit. Inilah yang didukung oleh Mahkota Specialist Hospital hari ini dengan menyediakan lebih banyak kepakaran, lebih banyak perkhidmatan khusus, penjagaan yang lebih bersepadu dan lebih banyak peluang untuk pesakit mendapatkan rawatan yang diperlukan, dekat dengan rumah.
Kekuatan kami terletak pada cara pelbagai keupayaan kami bergerak seiring. Mahkota menempatkan Wad SMART generasi baharu yang pertama di Malaysia serta sistem pembedahan berbantukan robotik Hinotori yang pertama di negara ini.
Komitmen kami terhadap kualiti dan keselamatan pesakit diiktiraf melalui JCI Triple Gold Seal of Approval yang pertama di Malaysia, merangkumi akreditasi hospital serta dua Pensijilan Program Penjagaan Klinikal bagi Kanser Payudara dan Penyakit Buah Pinggang Kronik.
Ini turut dilengkapi akreditasi di bawah standard MSQH Edisi Ke-7, yang mengukuhkan fokus kami untuk mengekalkan standard penjagaan yang tinggi dan konsisten di semua jabatan dan pasukan klinikal.
Pesakit merasai kekuatan ini sepanjang perjalanan rawatan mereka, daripada diagnosis dan rawatan sehinggalah pemulihan dan rawatan susulan.
Boleh jelaskan tentang Wad SMART generasi baharu dan sistem pembedahan berbantukan robotik Hinotori yang pertama di negara ini?
Teknologi hanya bermakna apabila pesakit dapat merasai perbezaannya. Pembedahan yang dibantu robotik membantu meningkatkan ketepatan dalam prosedur yang kompleks, yang boleh bermaksud hirisan lebih kecil dan pemulihan yang lebih lancar.
Wad SMART kami pula menggunakan sistem pemantauan bersambung supaya pasukan klinikal dapat bertindak lebih awal apabila berlaku perubahan pada keadaan pesakit.
Menjadi yang pertama di Malaysia dengan kedua-dua teknologi ini tidaklah sepenting apa yang dapat dicapai melaluinya. Kedua-duanya tidak menggantikan pertimbangan klinikal atau hubungan antara pesakit dengan doktor.
Sebaliknya, teknologi ini memberi pasukan kami maklumat yang lebih baik dan kawalan yang lebih halus, dan di situlah manfaatnya sampai kepada pesakit.
Apakah pelan perancangan terkini?
Seiring pertumbuhan Mahkota, aspirasi kami adalah untuk berbuat lebih banyak untuk masyarakat yang kami layani.
Lebih banyak kepakaran, perkhidmatan yang lebih canggih, lebih banyak kemudahan dan lebih banyak peluang untuk pesakit mendapatkan rawatan yang diperlukan, dekat dengan rumah.
Pembesaran ini membolehkan kami memperkukuh keupayaan pakar sambil menampung permintaan yang semakin meningkat bagi penjagaan kesihatan tempatan dan rentas sempadan.
Penjenamaan semula ini juga mencerminkan evolusi kami menjadi penyedia penjagaan kesihatan tertiari yang komprehensif, di samping mengekalkan kepercayaan dan warisan yang telah kami bina selama ini.
Ia juga mengukuhkan hubungan kami dengan rangkaian penjagaan kesihatan serantau HMI Medical, sekali gus memudahkan pesakit mengenali bahawa mereka sebahagian daripada satu rangkaian penjagaan kesihatan serantau yang dipercayai.
Seiring perkembangan penjagaan kesihatan rentas sempadan, pesakit semakin menghargai perjalanan rawatan yang lancar dan bersambung, dan itulah yang sedang kami usahakan. -KOSMO! ONLINE








