fbpx
Adly

Status operasi monorel dinilai semula jika menang PRN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) akan melakukan penilaian semula terhadap beberapa projek terbengkalai di negeri ini, termasuk operasi perkhidmatan Monorel, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sebagai antara usaha menguruskan dana awam dengan baik.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, langkah itu penting kerana rakyat berhak mengetahui berapa banyak wang sudah dibelanjakan bagi setiap projek, ke mana wang itu disalurkan dan siapa bertanggungjawab memulihkan projek berkenaan.

“Contohnya Monorel, sejumlah RM16.5 juta wang telah dibelanjakan sebelum ini untuk projek itu (yang telah dihentikan operasi sejak 2020) jadi rakyat berhak mendapat penjelasan tentang kedudukan aset ini, kos penyelenggaraan serta hala tuju pemulihan yang munasabah.

“Kesan projek-projek terbengkalai ini tidak bagus dalam banyak aspek terutamanya dari segi keselamatan, masa depan pelancongan dan imej Melaka itu sendiri, jadi sesiapa pun yang diberi mandat nanti harus mempunyai agenda jelas tentang apa yang harus kita lakukan pada projek ini,” katanya.

Adly yang diumumkan sebagai calon Ketua Menteri oleh Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari sekiranya PH diberi mandat pada PRN kali ini berkata demikian pada sidang media harian gabungan itu di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Piatu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly yang merupakan calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata penilaian yang akan dilakukan itu antara lain akan menentukan sama ada projek itu boleh diteruskan melalui pelaburan-pelaburan baharu atau terus ditamatkan.

Selain itu, beliau berkata sekiranya diberi mandat, PH akan memastikan segala bentuk inisiatif rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri, akan dilakukan secara lebih telus serta tanpa sebarang karenah birokrasi.

“Sistem bantuan ini cabarannya birokrasi selain bergantung kepada kenalan dan hubungan politik. Tetapi dalam zaman digital ini, kita harus menjadikannya lebih telus, boleh disemak, dan siapa pun harus tahu bahawa apakah dia layak dan tidak layak, dan kalau (permohonan) ditolak, apa alasan diberikan.

“…dan hakikatnya Kerajaan PH pada 2018 telah pun menutup sebahagian daripada isu birokrasi serta bantuan-bantuan yang berdasarkan politik kepartian itu di mana semua bentuk bantuan mesti melalui agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Pada PRN Melaka kali ini, Adly yang juga Naib Presiden Amanah berdepan saingan empat penjuru dalam usaha mempertahankan DUN Bukit Katil apabila menerima tentangan calon Perikatan Nasional (PN) Ridzuan Sarif, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Dr Aliza Che Amran dan calon Bebas Abu Bakar Sabudin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN