BEIJING – Zhou Qunfei yang pada mulanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah tapak pembinaan sebelum memulakan perniagaan sendiri yang memberinya gelaran ‘ratu skrin sentuh’, dinamakan sekali lagi sebagai wanita terkaya di China, lapor laman berita VNExpress.
Pengasas dan pengerusi syarikat Lens Technology berumur 56 tahun itu memiliki kekayaan 127 bilion yuan (RM77.4 bilion), demikian menurut senarai Wanita Terkaya China Hurun 2026 yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Hurun berpangkalan di Shanghai, baru-baru ini.
Beliau menduduki tangga teratas buat kali kedua, mengatasi Zhong Huijuan iaitu bekas guru kimia yang mengasaskan syarikat ubat Hansoh Pharmaceutical.
Berasal daripada keluarga luar bandar yang miskin, perjalanan hidup Qunfei memberi inspirasi kepada ramai pekerja di seluruh China.
Dilahirkan di sebuah kampung di kawasan pergunungan wilayah Hunan, beliau kehilangan ibunya pada usia lima tahun, manakala bapanya kemudian menjadi buta akibat kemalangan di tempat kerja, lapor The Standard.
Qunfei berhenti sekolah menengah pada umur 16 tahun dan berpindah ke Shenzhen. Di sana, beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan dan kemudian sebagai pekerja barisan pemasangan di kilang kaca, demikian menurut South China Morning Post.
Wanita itu menubuhkan bengkel sendiri pada tahun 1993 ketika berumur 23 tahun, dan mempelajari secara kendiri teknik pencetakan skrin termaju serta pencetakan kaca melengkung khas.
Lens Technology ditubuhkan satu dekad kemudian di Shenzhen oleh Zhou dan seorang rakan kongsi.
Firma itu mendapat tawaran syarikat Motorola dan kemudiannya memperoleh kejayaan besar dengan membekalkan skrin sentuh untuk iPhone pertama Apple.
Lens disenaraikan secara awam di Shenzhen pada 2015, tahun sama Qunfei pertama kali dimahkotakan sebagai wanita terkaya di China.
Sepanjang tahun-tahun tersebut, Qunfei berdepan pelbagai cabaran, daripada rakan kongsinya meninggalkan firma hinggalah kepada pesaing yang cuba menyingkirkannya daripada perniagaan tersebut, seperti yang pernah diceritakan dalam temu bual bersama CNBC.
Satu lagi tamparan hebat berlaku pada tahun 2018, apabila saham firmanya merosot di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China dan kebimbangan mengenai jualan Apple, mengurangkan sebahagian besar kekayaan Zhou, lapor The Straits Times.
Lens Technology sejak itu telah mempelbagaikan perniagaan di luar bidang telefon pintar, berkembang ke dalam pembuatan termaju dan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat didorong oleh kecerdasan buatan, robotik serta industri baharu yang lain.
Kini ia mengeluarkan komponen untuk pelbagai jenis produk, termasuk komputer, peranti boleh pakai pintar, kenderaan elektrik dan robot humanoid.
Peralihan itu nampaknya membuahkan hasil. Lens membuat penyenaraian sekunder di Hong Kong pada Julai lalu yang dilanggan berlebihan kira-kira 462 kali, merancakkan semula kebangkitan Zhou.
Beliau menarik perhatian awal tahun ini apabila duduk bersama Ketua pegawai Eksekutif(CEO) Apple, Tim Cook dan pengasas Tesla, Elon Musk pada majlis makan malam negara dihoskan oleh Presiden China, Xi Jinping untuk Presiden Donald Trump pada Mei lalu.
Beliau juga ditampilkan dalam senarai Wanita Paling Berkuasa Asia 2026 majalah Fortune pada Oktober lalu dan menduduki tempat ketiga
Senarai Hurun yang menampilkan 50 wanita terkaya di China, mencatatkan bahawa 65 peratus daripada mereka membina kekayaan atas usaha sendiri dengan memulakan perniagaan pada usia sekitar 32 tahun dan kini secara purata, berusia 59 tahun. – AGENSI
















