fbpx
MOHAMAD (dua dari kanan) menyampaikan replika cek bantuan takaful pada Program Turun Padang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Pesawah di PPK H-II Kepala Batas, Alor Setar, hari ini.

‘Jangan biar warga asing kuasai bendang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Penguasaan warga asing dalam sektor pertanian negara, khususnya aktiviti penanaman padi dibimbangi boleh menjejaskan penglibatan pesawah bumiputera dalam industri tersebut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor penanaman padi perlu terus dipertahankan oleh pesawah bumiputera bagi memastikan pengeluaran makanan utama negara kekal terpelihara.

“Saya bimbang banyak kerja di sawah sekarang ini tinggal bendang sahaja. Kalau bendang pun terlepas, habislah. Semua sudah diambil alih orang luar.

“Kalau kita buat bendang rugi, orang lain pula datang mengambil untung. Bagaimana kita hendak mempertahankan sektor ini kalau akhirnya diserahkan kepada orang asing?” katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Pesawah negeri ini di PPK H-II Kepala Batas, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap keluhan pesawah yang berdepan pelbagai masalah dalam mengusahakan tanaman padi, terutama apabila kos pengeluaran tidak seimbang dengan hasil yang diperoleh.

“Bendang ini hasilkan makanan ruji negara ini, kita kena pertahankan, orang bumiputera perlu buat, ertinya orang Malaysia lah. Jangan terlepas kepada orang asing dengan segala rungutan itu kita mendengar dari semasa ke semasa.

“Isu ini kebanyakannya berlaku di Kedah lah. Kalau di Selangor itu agak kuranglah sikit sebab hasil mereka itu agak tinggi. Dari sekarang di Sekinchan itu, mereka sampai 7 hingga 12 tan metrik.

“Orang yang tidak buat bendang yang duduk main TikTok sahaja dari jauh, saya kurang dengar. Tetapi kalau orang yang buat bendang, saya dengar. Apa benda yang tidak kena, kita kena buat. Kita cuba selesaikan. Kalau ada masalah, kita berdialog dan berbincang secara terbuka dengan mereka yang mengusahakannya,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya, tuntutan pesawah supaya harga belian padi dinaikkan kepada RM1,800 masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan,

“Kalau tuntutan RM1,800 itu, sekarang masih di peringkat perbincangan. Apa yang penting adalah bagaimana struktur harga padi akan dilaksanakan. Kita tidak boleh bertindak secara solo sebaliknya perlu mendengar pandangan Kementerian Kewangan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta kementerian lain.

“Kena dengar pandangan-pandangan kementerian lain. Macam mana kita kalau nak naikkan harga lantai lagi, bagaimana harga beras dapat dikawal. Semuanya itu di peringkat perbincangan,” jelasnya.

Tambahnya, kadar harga lantai itu sebelum ini melalui beberapa peningkatan iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,300 dan seterusnya pada kadar semasa iaitu RM1,500. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN