KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, untuk diselaraskan bagi membantu persatuan, penjaja dan peniaga kecil meningkatkan pendapatan.
Beliau berkata, jumlah peruntukan itu mengambil kira ratusan ribu penjaja, peniaga kecil dan persatuan yang terdapat di seluruh negara.
“Mulanya saya ingat hendak umum RM100,000 sahaja, itu sudah banyak tetapi saya fikirkan ada berapa ratus ribu penjaja, berapa syarikat ada, berapa gerai ada, berapa persatuan seluruh negara, jadi atur kita baik-baik.
“(Kerajaan) bantu supaya tiap tahun kita ada peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan yang disalurkan kepada persatuan, penjaja dan peniaga kecil boleh membantu meningkatkan lagi ekonomi keluarga.
“Kalau tanya saya, Anwar puas hati ke untuk nasib penjaja? Saya tidak puas hati sebab ini rakyat yang terbanyak dan kehidupan dia susah. Kais pagi makan pagi.
“Kalau mahu suruh dia tunggu pergi pejabat, isi borang pinjaman satu hari, itu beban kepada dia. Jadi kita kena cari jalan tingkatkan pendapatan dia,” kata beliau. – Bernama
















