fbpx
Kelibat dua ekor tapir yang sempat dirakam Roziana berkeliaran di jalan raya berhampiran Kampung Teluk Kalong, Kemaman hari ini.

‘Tiba-tiba muncul, nasib sempat tekan brek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Seorang peniaga makanan berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya hampir merempuh dua ekor tapir yang tiba-tiba melintas jalan di Kampung Teluk Kalong, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi itu, Roziana Abd. Razak, 47, terselamat kerana sempat membrek kenderaaannya.

Wanita itu berkata, sewaktu kejadian, dia dan seorang pekerjanya dalam perjalanan ke premis perniagaannya di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, di sini dari rumahnya di Kemasik, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua ekor tapir tiba-tiba muncul dari tepi jalan yang berhampiran kawasan hutan.

“Nasib baik saya sempat membrek kenderaan. Haiwan-haiwan itu yang juga terkejut kemudiannya berpatah balik memasuki hutan,” katanya di sini hari ini.

Roziana berkata, ia pengalaman pertama berserempak dengan haiwan liar sejak berniaga di kawasan perindustrian tersebut pada lapan tahun lalu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, empat kakitangan Perhilitan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan sebaik menerima maklumat berhubung kemunculan tapir terbabit.

“Pemantauan sedang diadakan. Kita percaya dua tapir tersebut mungkin keluar dari Hutan simpan Bukit Panjang yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN