KLANG – Identiti empat daripada tujuh pemancing yang ditemui selamat selepas bot mereka terbalik dipukul ombak setinggi empat meter di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam, hari ini sudah dikenal pasti.
Mereka ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Pengesahan identiti itu dibuat berdasarkan laporan diterima keluarga pemancing daripada pihak berkuasa.
Kesemua mereka dijumpai pada pukul 10 pagi di perairan Tanjong Karang, kira-kira sejam dari lokasi mereka dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank.
Penemuan itu sekali gus menamatkan penantian mendebarkan keluarga mangsa yang menunggu khabar selepas mereka gagal dikesan setelah keluar memancing ikan cencaru dua hari lalu.
Keempat-empat mangsa akan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut susulan keadaan yang lemah.
Bagi Faridah Awang, 52, berita adiknya, Zulfikalnain ditemui selamat menjadi detik paling melegakan selepas keluarganya dihantui kebimbangan sejak dua hari lalu.
Katanya, kehilangan adiknya hanya diketahui pada pukul 10 pagi selepas menerima makluman daripada isteri Zulfikalnain.
“Saya difahamkan dia keluar membawa trip memancing ikan cencaru hingga sempadan Indonesia. Pada mulanya saya sangka hanyut biasa. Hari ini dimaklumkan bot terbalik.
“Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Syukur (adik) ditemui selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Pangkalan Hadapan Jeti Sementa di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, berdasarkan maklumat, kesemua mangsa keluar mencari ikan cencaru berikutan musim ikan tersebut ketika ini.
Katanya, punca sebenar bot terbalik masih belum diketahui dan pihak berkuasa sedang mendapatkan maklumat lanjut termasuk kemungkinan berlaku kerosakan enjin atau kehabisan minyak.
“Bagaimanapun, keadaan laut ketika kejadian agak mencabar dengan ombak setinggi empat meter.
“Pihak berkuasa turut berhubung dengan pihak Indonesia bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat nelayan atau pemancing yang ditemui di kawasan berkenaan, namun dimaklumkan tiada,” katanya.
Beliau dimaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd. Shahril Abd Rahman, 43, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49. – KOSMO! ONLINE
















