fbpx
TIMBALAN Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Mohamad Azlan Iskandar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini bagi berkongsi perkembangan terkini situasi cuaca buruk dan banjir di Jepun menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Foto ISKANDAR ISHAK

Kontinjen negara waspada banjir di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak mengambil mudah situasi cuaca buruk dan banjir yang melanda beberapa kawasan di Jepun menjelang temasya yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Mohamad Azlan Iskandar berkata, perkembangan semasa terus dipantau dengan pihaknya sentiasa berhubung bersama pasukan Sukan Asia yang berada di Jepun bagi mendapatkan maklumat terkini.

“Kita pagi ini memang dapat kemas kini dan sentiasa berhubung dengan pasukan Sukan Asia di sana. Kita akan terus mendapat perkembangan sepanjang hari, tetapi masih terlalu awal dan kita perlu menilai keadaan di lapangan,” katanya ketika lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Jepun semalam dilaporkan mengeluarkan amaran kecemasan Tahap Lima iaity tahap tertinggi susulan hujan lebat dan banjir yang melanda beberapa kawasan di wilayah Aichi dan Gifu.

Situasi itu berlaku selepas paras air Sungai Shonai yang merentasi kedua-dua wilayah berkenaan meningkat sehingga pihak berkuasa meminta penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi dan selamat.

Azlan Iskandar (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara bagi meninjau persiapan atlet negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini. Foto ISKANDAR ISHAK

Mengulas perkara itu, Azlan yang berada di Tokyo pada hujung minggu lalu turut berdepan keadaan hujan lebat, namun percaya situasi tersebut mampu ditangani dengan baik oleh pihak berkaitan.

“Ia isu alam sekitar. Banjir disebabkan hujan. Saya sebenarnya berada di Tokyo hujung minggu lalu dan memang hujan lebat di sana.

“Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang berbeza. Setiap negara berada dalam situasi yang sama dan saya yakin keadaan di sana akan dikendalikan dengan baik,” katanya.

Bekas jaguh skuasy negara itu menegaskan pihak kontinjen akan terus mendapatkan perkembangan semasa sebelum menentukan sebarang tindakan susulan bagi memastikan persiapan atlet dan pegawai negara tidak terjejas. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN