Tun Siti Hasmah

Malaysia hilang ibu pertiwi, figura bawa kelembutan, kebijaksanaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ke negeri abadi pada hari ini disifatkan sebagai satu perpisahan besar buat negara apabila Malaysia kehilangan seorang ibu pertiwi yang mempunyai peribadi lembut, bijaksanaan dan sentiasa teguh nilai dalam ruang awam.

Ini kerana, sepanjang berada di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Siti Hasmah sentiasa memperlihatkan nilai bahawa peranan isteri seorang pemimpin tidak semestinya bersifat ‘ceremonial’, tetapi sebagai sumber kekuatan moral, empati dan kestabilan kepada negara.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, peranan Tun Siti Hasmah bukan sahaja dilihat sebagai seorang isteri, tetapi turut menjadi tulang belakang kuat khususnya ketika negara melalui fasa pemodenan dan perubahan pesat.

“Dalam era yang menuntut ketegasan politik serta keputusan besar, keperibadian beliau yang tenang, prihatin dan dekat dengan masyarakat melengkapkan imej kepimpinan negara.

“Beliau membantu menjadikan agenda pembangunan bukan sekadar soal bangunan, industri dan ekonomi, tetapi turut mempunyai wajah kemanusiaan terutama melalui perhatian terhadap kesihatan, keluarga, wanita dan kebajikan masyarakat,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Pada masa sama, sikap rendah diri Tun Siti Hasmah juga turut dilihat menjadi kekuatan besar kepada diplomasi Malaysia dengan negara antarabangsa lain.

“Beliau tidak menonjol secara berlebihan, namun keanggunan, kesantunan dan keikhlasan ketika mendampingi pasangan pemimpin dunia telah membentuk imej Malaysia yang matang serta dihormati.

“Diplomasi tidak hanya berlaku di meja rundingan rasmi, tetapi juga melalui keperibadian, budi bahasa dan kemampuan membina hubungan yang mesra,” katanya.

Dalam konsep itu, katanya, Tun Siti Hasmah juga berjaya membawa citra wanita Malaysia yang berpendidikan, berprinsip, penyayang dan berwibawa ke pentas antarabangsa.

Hari ini, Tun Siti Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN).

Untuk rekod, Dr. Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Dr. Siti Hasmah mengikuti pengajian di King Edward VII College of Medicine dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi itulah beliau bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956.

Pasangan ini dikurniakan tujuh orang cahaya mata dan sering menjadi contoh sebuah keluarga yang sederhana serta saling menyokong antara satu sama lain.

Dalam kerjayanya sebagai doktor, Dr. Siti Hasmah mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak pada tahun 1965. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN