fbpx
MOHAMAD HAIRUL AMIR (dua dari kiri) ketika menemui keluarga mangsa di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, Tambun, Ipoh hari ini.

PM sampaikan takziah, sumbang RM5,000 kepada mangsa kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, Tambun di sini hari ini.

Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah tersebut melalui panggilan telefon.

“Sumbangan sebanyak RM5,000 diserahkan kepada keluarga berkenaan bagi membantu meringankan beban mereka susulan kejadian yang menimpa.

“Perdana Menteri turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga yang terlibat dan meminta pusat khidmat membantu sebaik mungkin bagi memudahkan urusan keluarga mangsa,” katanya di sini hari ini.

Katanya, esok ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) akan ke lokasi kebakaran berkenaan untuk membuat penilaian jumlah kerugian untuk kerja baik pulih serta sumbangan yang diperlukan.

Ujarnya, pihaknya turut akan mengusahakan bantuan penginapan sementara sekiranya keluarga mangsa memerlukannya berikutan keadaan rumah yang mungkin mengambil masa untuk dibaiki.

“Kalau kita lihat keadaan dalam rumah ini mungkin mengambil masa yang lama. Jadi, daripada pusat khidmat kita akan bantu menyediakan tempat untuk mereka berteduh dahulu sementara proses baik pulih dilaksanakan.

“Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkaitan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian termasuk kemungkinan khidmat kaunseling kepada keluarga yang terkesan,” katanya.

Mohamad Hairul Amir berkata, pihaknya akan membantu urusan pengurusan jenazah tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN