PETALING JAYA – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Kedah dan Perlis semalam berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan tadahan empangan utama dalam usaha menangani cuaca panas, kekurangan hujan dan jerebu.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan, operasi itu menyasarkan kawasan tadahan Empangan Pedu, Muda, Ah Ning dan Beris di Kedah serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.
Menurutnya, misi tersebut dilakukan menggunakan pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Sebanyak empat tangki larutan garam digunakan sepanjang misi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
MetMalaysia berkata, hujan berlaku di kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh seawal pukul 1 tengah hari, manakala di kawasan Empangan Pedu, Muda dan Beris dicerap pada pukul 2 petang.
Taburan hujan tertinggi pula direkodkan di Stesen Padang Besar, Taman Negeri Perlis dengan jumlah 44.8 milimeter (mm).
“Analisis menunjukkan kehadiran awan konvektif dan kelembapan atmosfera yang tinggi membantu keberkesanan operasi di Kedah dan Perlis,” katanya.
MetMalaysia akan terus memantau keadaan cuaca dan mengemas kini ramalan serta amaran cuaca menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi MYCuaca dan media sosial rasmi jabatan itu.- KOSMO! ONLINE








