fbpx
Golongan profesional turut memilih e-hailing untuk mencari pendapatan tambahan. GAMBAR JANAAN AI

Tidak jatuh standard bawa e-hailing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dulu kita selalu menyangka mereka yang bekerja sebagai doktor, jurutera, akauntan, malah juruterbang merupakan individu yang paling beruntung.

Ini kerana mereka berada dalam kelompok profesional disebabkan kemahiran dan kelayakan tertentu yang dimiliki, malah pendapatan yang diperoleh juga bukan ‘calang-calang’.

Golongan ini digambarkan mempunyai kerjaya yang stabil dan hidup senang walaupun dengan makan gaji.

Jadi tidak hairanlah jika dahulu ramai ibu bapa mahu anak masing-masing belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita menjadi doktor atau jurutera apabila besar kelak.

Namun hari ini situasi sudah berubah. Pendapatan golongan profesional seperti doktor dan jurutera misalnya tidak lagi dianggap mewah lebih-lebih bagi yang mempunyai keluarga dan menetap di bandar besar seperti Lembah Klang.

Mereka juga bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat saban tahun, isu perjawatan kontrak dan gaji pokok yang tidak banyak berubah berbanding 10 tahun lalu sedangkan harga barangan dan caj perkhidmatan terus mencanak naik.

Jadi tidak hairanlah jika golongan pekerja profesional ini melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk mencari pendapatan tambahan untuk menampung keperluan keluarga selain bagi tujuan simpanan kecemasan.

Baru-baru ini, seorang doktor gigi yang memiliki klinik sendiri mendedahkan beliau melakukan pekerjaan sampingan sebagai pemandu e-hailing selepas tamat syif pukul 6 petang dan berjaya memperoleh antara RM1,000 hingga RM1,500 seminggu.

Perkongsian doktor di aplikasi Threads itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang berasa terinsipirasi dengan semangat lelaki tersebut.

Ada berkongsi pengalaman memandu Grab untuk mengisi masa terluang pada sebelah malam atau hujung minggu. Sekurang-kurangnya mereka dapat menggandakan simpanan walaupun gaji tetap sudah mencapai lima angka.

Selain itu, ada penumpang yang berkongsi pengalaman menaiki e-hailing dipandu peguam, jurutera dan tauke restoran.

Setiap daripada mereka mempunyai alasan tersendiri memilih pekerjaan tersebut bagi mencari wang sampingan. Melakukan dua atau lebih pekerjaan, bukan lagi sesuatu yang asing di negara ini, malah adakalanya pendapatan sampingan itu lebih lumayan daripada kerja hakiki.

Setiap orang mempunyai komitmen dan impian yang berbeza-beza untuk dipenuhi.

Tidak timbul soal jatuh standard menjadi drebar selagi mana ia adalah pekerjaan yang sah, asalkan tidak mengabaikan tugasan hakiki, tanggungjawab kepada keluarga serta memudaratkan kesihatan sendiri.

Bekerja kuat ketika kita masih muda dan mempunyai kudrat. Selain mendapat wang, kita boleh mencari pengalaman dan melihat ragam orang.

Lebih baik kita bersusah payah melakukan pelbagai pekerjaan hari ini untuk simpanan hari akan datang daripada meminta-minta di kemudian hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN