fbpx
Mohd. Hisham (kanan) menunjukkan sebahagian motosikal seludup termasuk Yamaha RXZ yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang hari ini.

Sanggup beli motosikal, alat ganti seludup demi sertai RXZ Members

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengenal pasti rampasan motosikal seludup terutama Yamaha RXZ dilakukan secara konsisten setiap tahun berikutan kenderaan jenis itu mendapat  permintaan daripada peminat untuk menyertai RXZ Members.

Pengarahnya, Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, sepanjang enam bulan tahun ini, pihaknya menyita sebanyak 45 buah motosikal terpakai yang diseludup dari Thailand dengan 25 buah daripadanya adalah Yamaha RXZ bernilai RM3.6 juta termasuk duti dan cukai.

Katanya, rampasan itu dilakukan menerusi beberapa operasi yang dijalankan di sekitar Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor.

“Rampasan tertinggi melibatkan Yamaha RXZ iaitu sebanyak 25 buah, manakala selebihnya motosikal Kawasaki, Honda Click dan Yamaha TZR.

“Kita mendapati rampasan motosikal ini konsisten setiap tahun mungkin ada permintaan daripada peminat Yamaha RXZ untuk menyertai RXZ Members,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.

Mohd. Hisham berkata, siasatan mendapati, kesemua kendraan itu disyaki diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum dijual kepada pelanggan.

Katanya, sindiket penyeludupan dipercayai menyimpan motosikal itu di pelbagai lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal di tiga negeri berkenaan.

“Motosikal seludup mendapat permintaan tinggi kerana ia dijual pada harga rendah sebelum dibaiki semula dan dijual pada harga berlipat kali ganda. Selain itu, alat ganti Yamaha RXZ seludup turut dijual kerana  mempunyai permintaan yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN