PERANAN Penaung Kuala Lumpur City (KL City) FC, Datuk Seri Fahmi Fadzil dianggap cukup penting untuk menaikkan semula ‘aura’ bola sepak skuad Warga Kota untuk terus bersaing secara kompetitif dalam arena tempatan.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi cukup komited untuk memberi sokongan, menjaga kebajikan pemain, pegawai serta pembangunan projek akar umbi.
Kata Syed Yazid, sejak Fahmi menjadi penaung bermula 2024, KL City telah menguruskan kewangan dengan lebih tersusun sehingga semua pembayaran gaji pemain dan pegawai dapat diselesaikan mengikut jadual tanpa sebarang tunggakan.
“Alhamdulillah, kesemua pembayaran gaji berjaya diselesaikan. Ini bermakna sepanjang musim 2025-2026, semua gaji pemain dan pegawai berjaya dibayar sepenuhnya tanpa sebarang tunggakan.
“Keadaan ini jelas membuktikan keprihatinan serta rasa tanggungjawab tinggi Fahmi terhadap kebajikan setiap pemain dan pegawai pasukan.
“Beliau sentiasa memastikan mereka dapat memberikan sepenuh fokus kepada prestasi di atas padang tanpa dibebani isu kebajikan,” katanya.
Mengulas lanjut, selain memastikan kebajikan warga pasukan sentiasa terpelihara, Syed Yazid juga menegaskan Fahmi banyak memudahkan pelbagai urusan membabitkan pembangunan infrastruktur dan operasi pasukan.
“Fahmi sentiasa membantu membuka ruang serta memudahkan pelbagai urusan demi memastikan KL City terus berkembang sebagai sebuah kelab yang lebih kompetitif.
“Komitmen beliau bukan hanya tertumpu kepada soal pentadbiran, malah turut membabitkan usaha memperkukuhkan infrastruktur dan ekosistem bola sepak Kuala Lumpur bagi manfaat jangka panjang,” katanya.














