fbpx
Crysencio Summerville meraikan gol yang dijaringkan ke atas Sweden sebentar tadi.

Piala Dunia 2026: Belanda pamer aksi lima bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEXAS – Belanda semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas membelasah Sweden 5-1 dalam aksi Kumpulan F, awal pagi tadi.

Penyerang Brian Brobbey muncul watak utama apabila meledak dua gol, manakala rakan sepasukannya, Cody Gakpo turut mencuri tumpuan dengan dua jaringan buat skuad kendalian Ronald Koeman.

Satu lagi gol Belanda dijaringkan oleh Crysencio Summerville, sementara Sweden hanya mampu memperoleh gol sagu hati menerusi Anthony Elanga.

Pada perlawanan itu, pengendali The Oranje, Ronald Koeman membuat keputusan berani apabila menurunkan Brobbey dalam kesebelasan utama menggantikan Summerville yang sebelum ini menjaringkan gol ketika seri 2-2 menentang Jepun.

Keputusan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Brobbey hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan selepas menyudahkan hantaran lintang Gakpo hasil serangan balas pantas yang bermula daripada penjaga gol, Bart Verbruggen.

Penyerang itu sekali lagi menghukum Sweden pada minit ke-17 apabila menyempurnakan hantaran rendah Denzel Dumfries untuk meletakkan Belanda selesa mendahului 2-0.

Belanda terus mengganas sebaik babak kedua bersambung apabila Gakpo menjaringkan gol ketiga menerusi satu lagi hantaran berbahaya Dumfries pada minit ke-47.

Bintang Liverpool FC itu menambah gol kedua peribadinya tujuh minit kemudian selepas menerima bantuan Summerville sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Sweden, Kristoffer Nordfeldt.

Sweden yang dibimbing Graham Potter sempat merapatkan kedudukan pada minit ke-59 apabila Elanga bijak menyudahkan hantaran rakan sepasukan untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Namun, Summerville memastikan malam milik Belanda sepenuhnya apabila menjaringkan gol kelima menerusi rembatan kemas ke penjuru bawah gawang pada penghujung perlawanan.

Kemenangan besar itu menyaksikan Belanda mengungguli Kumpulan F dengan empat mata dan hanya selangkah lagi untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN