PETALING JAYA – Tindakan segelintir jemaah wanita meninggalkan kesan gincu berbentuk bibir pada dinding tempat persalinan Muslimah di sebuah Masjid di Kuala Lumpur mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Perkara itu tular selepas seorang pengguna Threads, @Ridhwah berkongsi beberapa gambar menunjukkan dinding berwarna putih dipenuhi kesan gincu dipercayai dilekap menggunakan bibir.
Menurutnya, dia hairan dengan tindakan individu terbabit yang disifatkan tidak bertanggungjawab selain mencemarkan kebersihan rumah ibadat.
“Ingin bertanya secara ikhlas, ini berlaku di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Sebelum solat, nak hilangkan lipstick itu memang perlu cium dinding ke? Selekeh betul,” ujarnya.
Hantaran itu kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam perbuatan berkenaan kerana dianggap tidak beradab dan mencemarkan imej masjid.
Seorang pengguna, @Ifah_zhad berkata, situasi sama didakwa sering berlaku di beberapa surau awam lain sehingga menimbulkan rasa pelik terhadap sikap segelintir individu.
“Perkara seperti ini memang berlaku di banyak surau awam. Ada kesan lipstick, mascara dan foundation pada dinding. Pelik betul, bersolek pada muka atau pada dinding surau?” katanya.
Selain itu, pengguna @Everyinnn mempersoalkan tindakan meninggalkan kesan gincu pada dinding semata-mata mahu membersihkan solekan sebelum mengambil wuduk.
“Gelilah. Cium dinding boleh hilang ke? Biasanya orang guna pencuci muka sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai pengotor selain tidak mencerminkan sikap bertanggungjawab ketika berada di tempat awam.
“Pengotor sungguh. Sebelum ini pun pernah kecoh di sekolah apabila dinding tandas pelajar perempuan jadi seperti ini. Rupanya memang wujud golongan yang buat perangai begitu,” kata @Mommytqa. – KOSMO! ONLINE














