PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di negara ini tidak lama lagi.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut turut dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan India yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif.
“Hubungan erat kedua-dua negara mencerminkan iltizam bersama dalam memperluas kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan, digital, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
“Saya turut menyentuh perkembangan positif perdagangan dua hala yang mencecah AS$18.59 bilion (RM73.86 bilion) pada tahun 2025, sekali gus mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Tambah beliau, kerjasama dalam bidang digital dan teknologi baharu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi penganjuran Mesyuarat Pertama Malaysia–India Digital Council (MIDC) serta MY-India AI Conclave di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anwar berkata, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan baik dengan India demi manfaat bersama selain menjamin kestabilan serantau serta kemakmuran lebih inklusif buat kedua-dua negara.- KOSMO! ONLINE.






