WASHINGTON – Seorang angkasawan misi Artemis II merakam klip video Bumi ‘bersembunyi’ di belakang Bulan buat kali pertama dengan menggunakan telefon pintar iPhone, lapor akhbar Metro UK semalam.
Reid Wiseman yang melakukan pusingan mengelilingi Bulan baru-baru ini, merakam fenomena cakerawala itu melalui tingkap kapal angkasa Integrity menggunakan iPhone 17 Pro Max.
Wiseman berkongsi rakaman video berdurasi 53 saat itu di platform X ketika peristiwa ‘Bumi terbenam’ (Earthset) atau matahari terbenam bagi versi dunia ini.
Ia bermula dengan Wiseman memfokuskan kamera pada Bulan sebelum dia berkata: “Cuba tengok itu, kawan.”
“Peluang sekali seumur hidup. Seperti menonton matahari terbenam di pantai dari tempat paling asing di kosmos, saya tidak dapat menahan diri daripada menonton video Earthset daripada telefon bimbit,” tulisnya.
Sementara itu, jurugambar astrologi, Andrew McCarthy berkata, ia mungkin video paling luar biasa yang pernah dirakam oleh telefon bimbit. – AGENSI














