KUANTAN Festival Kesihatan PlanetIIUM anjuran Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-being Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PlanetIIUM) berlangsung dengan penuh meriah dan berjaya menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia.
Timbalan Pengarah PlanetIIUM, Dr. Redzuan Nul Hakim Abdul Razak berkata, festival itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ketiga penubuhan PlanetIIUM, sekali gus menandakan peranan institut tersebut sebagai pusat ilmu, pendidikan dan kesedaran mengenai hubungan antara kesihatan manusia serta kelestarian planet.
Ujarnya, program yang berlangsung selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan informatif yang bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap isu-isu global seperti perubahan iklim, biodiversiti, keterjaminan makanan dan kesejahteraan komuniti.
“Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah bengkel pembuatan baja organik, lawatan makmal, dinding aksi iklim, pameran kesedaran kesihatan planet dan pameran kesihatan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.
“Salah satu pengisian penting festival ini ialah sesi ‘Planetary Health Talk’ yang membincangkan empat aspek utama iaitu biodiversiti, keselamatan makanan, pemerkasaan kesihatan dan tindakan iklim.
“Sesi tersebut disampaikan oleh para pakar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memberikan gambaran holistik tentang kepentingan hubungan antara kesejahteraan manusia dan alam sekitar dalam menghadapi cabaran kesihatan planet masa kini,” katanya kepada K-Kampus.

Sempena program itu, PlanetIIUM turut menganjurkan PlanetIIUM International Webinar Series: Biodiversity Conservation bertajuk Guardians of Nature: Conserving Biodiversity for a Sustainable Future yang menampilkan dua ahli akademik dari Thailand dan Malaysia.
Jelasnya, webinar dalam talian tersebut memberi tumpuan kepada peranan biodiversiti dalam menyokong kesihatan manusia dan keseimbangan ekosistem serta tindakan serantau yang diperlukan untuk memastikan kelestariannya.
Festival ini turut memfokuskan pendidikan alam sekitar kepada golongan muda melalui penganjuran pertandingan seperti Cabaran Inovasi Trash to Treasure, Cabaran Komunikasi Kesihatan Planet, Kuiz Kesihatan Planet, pertandingan mewarna dan pertandingan videografi.
“Pelajar sekolah rendah dan menengah yang menyertai pertandingan tersebut berpeluang mengasah kreativiti, kemahiran berfikir kritikal dan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.
“Program lawatan makmal pula memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dekat kepada pelajar apabila mereka dibawa meninjau makmal analisis dan makmal haiwan, sekali gus mendedahkan generasi muda kepada dunia penyelidikan saintifik.
PlanetIIUM juga berhasrat untuk menjadikan festival itu acara tahunan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan UIAM dalam mengetengahkan agenda kesihatan planet di peringkat nasional.
“Penganjuran edisi pertama Festival Kesihatan Planet IIUM ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan PlanetIIUM dalam menghubungkan sains, komuniti dan tindakan tetapi turut mengukuhkan peranan universiti ini sebagai institusi yang komited memupuk masyarakat celik alam sekitar dan berdaya saing dalam menangani isu-isu kesihatan global dan kelestarian.
“Festival ini berjaya mengumpulkan masyarakat dalam satu ruang yang memberi ilmu, kesedaran dan inspirasi demi masa depan planet yang lebih lestari,” katanya.














