fbpx
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 36.7 Jalan Batu Pahat - Kluang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, petang semalam. - Foto IHSAN BOMBA

Dua beradik maut dalam perjalanan ke Ayer Hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Seorang lelaki bersama seorang adiknya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 36.7 Jalan Batu Pahat – Kluang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, Fazli Yuzaini Zainal Abideen, 30, dan adiknya, Irfan Helmi, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala dua lagi adiknya iaitu Azrul Nizam, 29, dan Zul Fahmi, 25, mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Ujarnya, siasatan awal mendapati empat adik-beradik itu dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke Ayer Hitam dengan menaiki kereta Toyota Vios yang dipandu ole Azrul Nizam.

“Ketika sampai di lokasi, keadaan hujan yang lebat telah menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga dan Volvo XC99.

“Akibat pertembungan itu, Fazli Yuzaini dan Irfan Helmi yang duduk dibahagian penumpang belakang berada dalam keadaan tersepit ditempat duduk masing sebelum berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar, pemandu kereta Proton Saga, seorang wanita berusia 42, cedera di bahagian kaki kanan manakala pemandu Volvo XC99 seorang lelaki berusia 35 tahun serta isterinya berumur 34 tahun yang datang dari arah Ayer Hitam tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN