fbpx
Anggota polis membawa seorang guru (tengah) ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini untuk prosiding reman. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

[VIDEO] Ustazah direman bantu siasat kes pelajar maut dirempuh depan surau sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang guru mata pelajaran Pendidikan Islam direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam.

Perintah reman terhadap wanita berusia 57 tahun yang bermula hari ini hingga esok itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, wanita itu yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.

Kosmo! Online semalam melaporkan, luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V di dalam kawasan SMK) Tanjong Mas di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di depan surau itu akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu SUV berkenaan yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu SUV jenis Honda HR-V itu sedang memandu kenderaan tersebut di dalam kawasan SMK Tanjong Mas.

“Pemandu kenderaan itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas ke depan sehingga terlanggar dua orang pelajar perempuan.

“Kedua-dua mangsa ketika itu sedang memakai kasut di depan surau sekolah tersebut sebelum SUV berkenaan terbabas merempuh tiang batu surau,” katanya.

Mohd. Azmir memberitahu, kemalangan itu menyebabkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini untuk dbedah siasat.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan dirawat di Zon Merah, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini manakala pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN