KOTA BHARU – Seorang guru Pendidikan Islam yang dipercayai tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam sudah tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Ibu saudara mangsa, Zuraifah Mohd. Noor, 43, berkata, dia bertemu dengan wanita berusia 57 tahun itu sewaktu hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini semalam.
Katanya, penjawat awam tersebut segera memeluknya ketika bertemu mata buat pertama kali selepas kejadian tersebut.
“Guru itu memohon maaf kepada saya dan menyatakan dia tidak sengaja tertekan pedal minyak SUV (kenderaan utiliti sukan) dipandunya.
“Sebagai ibu saudara yang menjaga arwah Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin sejak kecil, sukar untuk saya terima kerana kejadian tersebut berlaku dalam kawasan sekolah.
“Saya belum berbincang dengan ahli keluarga lain termasuk bapa mangsa sama ada akan mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya selepas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambahnya, dia tidak menyangka arwah Nur Fatimatul Hawa pergi buat selama-lamanya kerana anak saudaranya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.
Zuraifah merupakan antara individu yang bertanggungjawab menjaga arwah Nur Fatimatul Hawa atau lebih mesra dipanggil Hawa dan adik-beradik remaja tersebut selepas kedua ibu bapa mereka berpisah.- KOSMO! ONLINE














