KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.8 juta bagi membaik pulih dan meningkatkan infrastruktur termasuk fasiliti teknologi maklumat 18 buah pusat tahfiz dan pondok di Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bagi memastikan institusi tahfiz dan pondok terbabit tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa.
“Penguasaan teknologi maklumat termasuk Artificial Intelligence (kecerdasan buatan) ini penting, jangan kita ketinggalan dan biarkan orang lain terus ke hadapan.
“Selain itu, penguasaan teknologi AI dalam kalangan pelajar institusi pendidikan agama juga amat penting,” katanya pada majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz negeri di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini hari ini.
Anwar turut menasihatkan pelajar tahfiz dan pondok agar fasih dalam bahasa lain selain bahasa Arab dan bahasa Melayu terutama bahasa Inggeris bagi menguasai teknologi maklumat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu pada tahun ini.
“Ia bagi memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat serta pembaikan perumahan, khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














