KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar berhubung pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada April, Mei dan Jun ini dilapangkan.
Ia selepas Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad yang mendengar kes itu membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raj yang mewakili pasangan itu untuk menangguhkan perbicaraan berikutan pihaknya perlu menyiapkan pernyataan pembelaan.
Sebelum ini mahkamah telah menetapkan 15 hari bagi perbicaraan kes itu yang mana tarikh-tarikh yang telah ditetapkan ialah 13 hingga 17 April , 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026.
“Mahkamah melapangkan perbicaraan hari ini (13 April), 14 hingga 17 April , 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026. Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu bermula 20 dan 24 Julai, 17 dan 18 Ogos, 16 serta 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember manakala Januari 2027 pada 15, 28 dan 29 Januari,” kata hakim Rosli.
Terdahulu, Shaarvin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya perlu menghantar dokumen berkaitan kes itu kepada juruaudit dan ia memerlukan masa enam minggu untuk disiapkan.
“Laporan tersebut diperlukan sebelum pernyataan pembelaan tertuduh dapat disediakan dan diserahkan kepada pihak pendakwaan,” kata peguam itu.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Noorsyazwani Mohamad Sobry dibantu Elyza Amira Habeeb Rahman tidak membantah dengan permohonan pembelaan menangguhkan perbicaraan kes itu.
Sementara itu, pada prosiding sama, mahkamah membenarkan permohonan Vivy Yusof dan suaminya untuk mendapatkan pasport sementara bagi membolehkannya ke Arab Saudi bagi menunaikan haji dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kemudian pasangan itu sekali lagi didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu berhubung kes kerugian pelaburan berkenaan.- KOSMO! ONLINE














