IMPIAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menamatkan saingan Liga Super dengan rekod kemenangan 100 peratus akhirnya berkecai apabila diikat Terengganu FC 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Keputusan tersebut bukan sahaja memadam rekod sempurna Harimau Selatan, malah disifatkan pengendalinya, Xisco Munoz sebagai satu ‘tamparan hebat’ menjelang aksi paling penting dalam sejarah kelab itu di pentas Asia.
Munoz jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila anak buahnya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata penuh apabila jentera serangan JDT dilihat kurang tajam.
“Terengganu beraksi cukup berdisiplin, mereka bertahan dengan baik dan dalam masa sama mampu mencipta serangan balas yang berbahaya.
“Ini pengajaran penting buat kami. Apabila gagal menjarakkan kedudukan, lawan akan sentiasa ada peluang untuk bangkit,” katanya.
Dalam aksi tersebut, JDT terlebih dahulu menceriakan penyokong apabila Bergson da Silva meledak gol pembukaan pada minit ke-22, namun, kealpaan benteng tuan rumah membuka ruang buat pelawat menyamakan kedudukan menerusi Ehson Panjshanbe pada minit ke-36.
Kali terakhir JDT tercicir mata dalam Liga Super adalah ketika seri 1-1 menentang PDRM FC pada 31 Julai 2024.
Mengulas lanjut, Munoz mengakui perlu mengalihkan fokus sepenuhnya kepada pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi, Jumaat ini.














