JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan bersendirian di pekarangan sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, di sini Sabtu lalu.
Penemuan menyayat hati itu disedari seorang jemaah lelaki berusia lingkungan 40-an sejurus selesai menunaikan solat sebelum berjalan ke kawasan parkir.
Langkahnya terhenti apabila terlihat satu ‘gumpalan’ kecil mencurigakan sebelum mendapati ia sebenarnya bayi yang sedang lena tanpa pengawasan.
Menurut perkongsian wanita dikenali sebagai Sha di media sosial, bayi tersebut hanya dibalut dengan tuala hijau tanpa pakaian sempurna.
“Bayi itu tidur nyenyak dengan tangan dan kaki terdedah, seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.
Keadaan itu menimbulkan rasa sayu dan kebimbangan dalam kalangan jemaah yang berada di lokasi berkenaan.
Bimbang keselamatan bayi, lelaki tersebut bersama seorang lagi jemaah segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
Ambulans yang tiba kemudian membawa bayi itu ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, bayi berkenaan kini stabil dan dalam pemantauan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE














