fbpx
DENGAN hanya menyebut arahan seperti ‘Hi VIDDA’, pengguna boleh mengawal suhu, mod dan aliran udara tanpa sentuhan fizikal.

Rumah pintar penuhi gaya hidup masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSEP rumah pintar merupakan satu sistem kediaman yang mengintegrasikan teknologi digital, internet dan automasi bagi mengawal serta mengurus pelbagai peralatan rumah secara lebih cekap, selamat dan mudah.

Ia bukan sahaja memenuhi keperluan semasa pengguna, malah membuka jalan kepada gaya hidup masa depan yang lebih pintar, sihat dan efisien bagi jutaan keluarga.

Dalam usaha membawa teknologi rumah pintar kepada pengguna, jenama global, Hisense terus memperkukuh kedudukannya di rantau Asia Tenggara dengan memperkenalkan rangkaian penyelesaian rumah pintar menyeluruh sempena 2026 ASEAN Partner Conference.

Menurut presiden Hisense rantau ASEAN, Clara Chang, pelancaran ini menandakan komitmen berterusan syarikat dalam memahami keperluan unik pengguna di rantau Asia Tenggara.

“Komitmen ini termasuk faktor iklim panas dan lembap, gaya hidup moden serta cabaran harian isi rumah.

“Melalui pendekatan berteraskan pengguna, Hisense memperkenalkan tiga produk utama iaitu peti sejuk RQ600 PureView, mesin basuh X-zone Master dan penghawa dingin pintar U8 yang direka untuk menawarkan pengalaman kediaman lebih selesa, sihat dan pintar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

INTEGRASI teknologi digital, internet dan automasi dapat menguruskan rumah dengan lebih cekap.

Tambahnya, melalui tema ‘Innovating a Better Life’, pihaknya menggabungkan teknologi paparan, cucian dan penulenan udara dalam satu ekosistem rumah pintar bersepadu menerusi platform Connect Life.

Peti sejuk RQ600 PureView tampil sebagai inovasi yang memenuhi keperluan harian pengguna Asia Tenggara, khususnya dalam penyediaan air sejuk dan ais.

Dilengkapi sistem pembuatan ais 3-dalam-1 yang mampu menghasilkan ais kiub, ais hancur dan air sejuk, produk ini menawarkan kelajuan penghasilan ais sehingga 50 peratus lebih pantas berbanding model konvensional.

Keunikan lain termasuk akses air dan ais tanpa perlu membuka pintu peti sejuk, sekali gus menjimatkan tenaga.

Selain itu, sistem perlindungan antibakteria menyeluruh yang dibangunkan khas untuk iklim tropika membantu mengekalkan kebersihan makanan secara optimum. Lebih daripada sekadar fungsi penyejukan, RQ600 PureView turut dilengkapi pintu lutsinar dan skrin kawalan pintar TFT bersaiz 6.86 inci.

Ciri ini membolehkan pengguna mengurus stok makanan, memantau kesegaran serta menerima peringatan tarikh luput secara lebih sistematik.

Inovasi ini sejajar dengan keperluan dapur moden yang menuntut gabungan teknologi pintar, kebersihan tinggi dan kemudahan penggunaan.

Kongsinya lagi, dalam aspek penjagaan pakaian pula, mesin basuh X-zone Master yang memenangi CES 2026 Best of Innovation Award memperkenalkan konsep pusat penjagaan dobi bersepadu.

“Dengan sistem basuhan pelbagai zon, pengguna boleh mencuci pakaian bayi, pakaian dalam, pakaian harian dan kasut secara berasingan dalam satu mesin, sekali gus mengelakkan pencemaran silang.

“Teknologi pengeringan pam haba bersepadu pula menggabungkan sistem pengeringan, penyahlembapan dan pemanasan pantas bagi memastikan setiap zon dapat dikeringkan secara efisien dan bebas gangguan,” ujarnya.

Ujarnya lagi, teknologi Healthy Water Activation membantu meningkatkan keberkesanan cucian dengan menukar struktur molekul air dan menghasilkan oksigen aktif yang menembusi gentian fabrik. Ini meningkatkan kuasa pembersihan sehingga 22 peratus serta mengurangkan pembentukan kerak secara signifikan.

Teknologi Dual-steam Hygiene Cloud pula menggunakan wap aktif untuk pensterilan menyeluruh tanpa merosakkan fabrik, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga yang mementingkan kebersihan dan kesihatan.

Sementara itu, pendingin hawa pintar U8 melengkapkan ekosistem rumah pintar Hisense dengan menawarkan pengalaman penyejukan yang lebih intuitif dan diperibadikan.

Dilengkapi teknologi Smart Eye Pro, peranti ini mampu mengesan kedudukan dan suhu badan penghuni untuk melaras aliran udara secara automatik, memastikan keselesaan tanpa tiupan angin langsung.

Teknologi HI-NANO pula meningkatkan kualiti udara dalaman dengan membebaskan ion berketumpatan tinggi bagi mengurangkan bakteria dan zarah berbahaya.

“Ciri kawalan suara pelbagai bahasa turut menjadikan U8 lebih mesra pengguna di rantau ASEAN. Dengan hanya menyebut arahan seperti ‘Hi VIDDA’, pengguna boleh mengawal suhu, mod dan aliran udara tanpa sentuhan fizikal.

“Ini mencerminkan evolusi teknologi rumah pintar yang semakin memudahkan kehidupan seharian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN