PETALING JAYA – Kebimbangan terhadap kos pengajian tinggi hampir memaksa seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan ‘straight A’ menangguhkan hasrat menyambung pelajaran.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas menerima maklumat ketika melakukan ziarah rutin di kampung-kampung sekitar Pengkalan Hulu, Gerik.
Menurut beliau, pelajar berkenaan, Nur Farah Athirah Kamarudin yang merupakan anak yatim dibesarkan ibunya hanya bergantung kepada pencen arwah suami yang juga seorang tentera.
“Ketika ziarah, saya dimaklumkan mengenai seorang pelajar cemerlang ‘straight A’ yang berkira-kira untuk sambung belajar kerana khuatir melibatkan kos yang tinggi.
“Kalau tinggi belanjanya, mak cik tak mampu nak tanggung untuk anak sambung belajar,” katanya menerusi satu perkongsian di TikTok milik Asyraf hari ini.
Beliau berkata, susulan itu pihaknya segera mengambil peluang menziarahi kediaman pelajar berkenaan di Kampung Selarong bagi melihat sendiri keadaan keluarga tersebut.
Katanya, beliau tidak akan membenarkan mana-mana pelajar cemerlang tercicir daripada arus pendidikan hanya disebabkan kekangan kewangan.
“Selagi saya ada di sini, saya tidak akan membenarkan sesiapa sahaja yang cemerlang tetapi tercicir daripada arus pendidikan.
“Insya-Allah, saya sudah meminta pegawai Mara untuk membantu adik Athirah dan juga pelajar-pelajar cemerlang dari latar belakang keluarga susah agar diberi keutamaan pembiayaan dan bantuan,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha itu penting bagi memastikan golongan pelajar berpotensi tinggi terus mendapat peluang melanjutkan pengajian tanpa dibebani isu kewangan. – KOSMO! ONLINE














