PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dijangka membarisi skuad badminton kebangsaan yang akan menggalas cabaran pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.
Ia berikutan bekas juara All England itu sudah pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami selain sudah menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sejak Rabu lalu.
Situasi itu sekali gus memberi petanda positif buat skuad badminton lelaki kebangsaan bagi menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam Piala Thomas selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Jurulatih Zii Jia, Liew Daren mengesahkan anak buahnya itu sudah bebas daripada sebarang kecederaan dan berada pada kondisi terbaik bagi melakukan persiapan ke arah kejohanan dua tahun sekali itu.
“Bagi saya, (Zii Jia) berada dalam keadaan baik dan tidak ada sebarang masalah, cuma perlu meningkatkan latihan sebagai persediaan ke arah Piala Thomas. Bagi saya, itu perkara yang paling penting.
“Berhubung kecederaan yang dialami, memang ianya sudah pulih 100 peratus. Harap selepas ini tidak ada sebarang kecederaan lagi,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di ABM semalam.
Sebelum ini, timbul kerisauan berhubung status Zii Jia ke Piala Thomas selepas kelibat bekas juara Asia itu tidak kelihatan di kala pemain-pemain lain sedang melakukan persiapan ke Kejohanan Badminton Asia (BAC).
Pada masa sama, Daren juga berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei dan Institut Sukan Negara (ISN) yang menawarkan khidmat rawatan kepada Zii Jia.
“Pertama sekali terima kasih kepada ISN dan Datuk (Chong Wei) kerana menawarkan rawatan secara percuma. Setakat ini, memang tidak ada masalah dan kita berada dalam situasi cukup baik,” ujarnya.














